Pendirian Majlis Raja-Raja Melayu adalah ibarat cahaya yang menyuluh - memimpin rakyat mendepani cabaran semasa.

Pandangan itu dinyatakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mendukung pendirian tegas Raja-Raja Melayu yang menjawab tindakan melampau individu dan kumpulan yang menggugat kemajmukan negara.

"Justeru, dengan penuh rasa tawadhu, saya ingin menyatakan bahawa prinsip-prinsip toleransi, kesederhanaan dan keharmonian yang disegarkan dan ditegaskan semula oleh Raja-Raja Melayu akan terus menjadi tiang seri Kerajaan Negeri Selangor.

"Atas prinsip ini, saya mengajak seluruh rakyat Malaysia khususnya Negeri Selangor untuk menolak gutter politics, budaya samseng dan fahaman rasis. Marilah kita bersama membangunkan sebuah bangsa yang gagah, bermaruah, berwibawa dan menghormati nilai-nilai kemanusiaan sejagat," kata beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Pada masa yang sama, beliau berharap rakyat Malaysia menjunjung pedoman Raja-Raja Melayu tentang sifat Islam yang toleran, sederhana dan inklusif.