Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menafikan laporan yang mengambarkan bahawa beliau seolah-olah membenarkan perbuatan maksiat dan khalwat.

Mujahid menegaskan, kenyataannya telah disalah tafsir malah beliau menjelaskan bahawa konsep nahi mungkar tidak hanya dilaksanakan dalam bentuk penguatkuasaan semata-mata.

Sebaliknya, katanya, beliau menekankan kepada pendekatan dakwah dan pendidikan keluarga sebagai salah satu bentuk tindak balas hidup masyarakat.

Menurutnya, artikel yang diterbitkan The Star itu tidak seperti yang dimaksudkannya, malah kenyataan itu seolah-olah berbaur fitnah terhadap dirinya.


“Kenyataan saya dalam temu bual The Star itu, apa yang disebut dalam kepala tajuk (berita) itu tidak keluar daripada mulut saya.

“Saya hanya bercakap tentang isu kesalahan ataupun yang dikatakan ruang awam dengan ruang peribadi, bahkan saya juga turut tekankan berkenaan salah guna kuasa dan pencerobohan di ruang peribadi yang tidak menggambarkan kaedah dan cara Islam.

“Saya tidak pernah menyebut isu kononnya (operasi cegah khalwat) dihentikan pada waktu malam, tidak diketuk pintu.

"Itu semua adalah tambahan daripada editor yang mengambil rumusan mereka sendiri daripada kenyataan-kenyataan saya.

"Sila rujuk kepada interview di dalamnya yang lebih tepat kepada maksud yang ingin disampaikan,” katanya memetik laporan berita TV Alhijrah, pada Sabtu.

BACA: Kalau tak boleh tegah maksiat, tak perlulah ada undang-undang - Mufti Perak

BACA: Isu khalwat: Islam tak ajar kita pecah rumah orang - Tun M


Dalam pada itu, beliau turut kecewa dengan tuduhan serta sindiran sesetengah pihak bahawa beliau membenarkan maksiat dan perbuatan khalwat.

Malah Mujahid berkata perbuatan itu dilihat satu bentuk manipuslasi terhadap kenyataannya sebelum ini.

BACA: Mujahid tidak ada kuasa ubah operasi khalwat - Asyraf Wajdi

BACA: Tiada lagi ketukan pintu tengah malam cegah khalwat

Terdahulu pada Sabtu, kecoh apabila tersiar laporan Mujahid berkata, tiada lagi ketukan pintu di tengah malam atau pintu dipecahkan oleh pegawai agama jika mendapat laporan khalwat atau aktiviti yang menyalahi ajaran Islam.

Mujahid bagaimanapun menegaskan beliau akan menjelaskan kenyataannya berhubung penguatkuasaan jenayah khalwat pada Isnin.