SHAH ALAM: Aktiviti migrasi, kepadatan penduduk dan cabaran persekitaran yang dihadapi di sekitar Lembah Klang menjadi antara faktor yang dikenal pasti menjadi punca kadar perceraian yang tinggi di Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal negeri Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, selain itu antara punca lain termasuk ekonomi pihak suami yang tidak stabil hingga menghadapi tuntutan pihak isteri berkenaan kegagalan memberi nafkah.

"Faktor lain adalah sosialisasi yang terbuka merentasi kebiasaan dan kegagalan menjadikan agama sebagai cara hidup dalam menguruskan rumah tangga," katanya menjawab pertanyaan Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (PH-Meru) mengenai punca kes penceraian amat tinggi di Selangor pada sidang Dewan Undangan Negeri Selangor di sini hari ini.

Menurutnya pendaftaran penceraian di Jabatan Agama Islam Selangor pada tahun lepas, mencatatkan sebanyak 6,299 kes penceraian dilaporkan seluruh daerah dengan kes tertinggi di Petaling (1,668 kes) diikuti Hulu Langat (1,303), Gombak (960) dan Klang (878).

Beliau juga menjawab soalan tambahan daripada Mohd Fakhrulrazi yang bertanya mengenai kesan penceraian terutamanya kepada pasangan yang mempunyai anak serta apakah usaha Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk membela golongan itu.

"JAIS menerusi masjid-masjid melaksanakan aktiviti mediasi atau sesi kaunseling kepada individu terbabit penceraian supaya kebajikan anak-anak sentiasa diberikan perhatian terutamanya dari segi nafkah, pendidikan dan psikologi," katanya.

-- BERNAMA