MALAYSIA
Kepelbagaian kaum, budaya jadi jambatan penyatuan negara - Aaron

Aaron berkata, Malaysia boleh diibaratkan sebagai sebuah "mangkuk salad" penuh dengan pelbagai sayur dan sos yang berbeza rasa, tetapi apabila digabungkan, menghasilkan kelazatan yang unik dan seimbang. -Facebook Aaron Ago Dagang
KUALA LUMPUR: Malaysia terbina atas kepelbagaian kaum, agama, budaya dan suku yang menjadi kekuatan unik serta aset paling bernilai bagi negara ini, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.
Dalam perutusan sempena sambutan Hari Malaysia 2025 esok, beliau berkata kepelbagaian itu bukanlah jurang pemisah, sebaliknya menjadi jambatan penyatuan yang memperkaya identiti Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang harmoni.
"Dari Semenanjung, kita mempunyai masyarakat Melayu, Cina, dan India yang telah lama bersama-sama membangunkan tanah air. Di Sabah pula, terdapat lebih 30 etnik dan ratusan subetnik seperti Kadazan-Dusun, Bajau, Murut, Rungus, dan banyak lagi yang mewarnai khazanah budaya negeri.
"Di Sarawak, kepelbagaian ini terserlah melalui masyarakat Iban, Bidayuh, Melanau, Orang Ulu serta pelbagai suku kaum lain yang kaya dengan adat dan tradisi," katanya.Dengan ungkapan mudah, katanya Malaysia boleh diibaratkan sebagai sebuah "mangkuk salad" penuh dengan pelbagai sayur dan sos yang berbeza rasa, tetapi apabila digabungkan, menghasilkan kelazatan yang unik dan seimbang.
Menyentuh mengenai sejarah pembentukan Malaysia pada 1963, Aaron berkata tokoh-tokoh besar seperti Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Tan Cheng Lock, Tun V. T. Sambanthan, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Mustapha Harun, Tun Fuad Stephens dan Tun Abdul Rahman Ya'kub menjadi tonggak utama yang memimpin rundingan dan menyatukan suara rakyat.
Namun, beliau menekankan bahawa pembentukan Malaysia juga adalah hasil daripada pengorbanan dan keberanian rakyat jelata yang menjadi nadi perjuangan, menyumbang tenaga, masa dan jiwa raga agar negara ini mampu berdiri sebagai sebuah bangsa merdeka.
Aaron berkata antara yang wajar dikenang ialah Temenggung Jugah Anak Barieng dari Sarawak yang memainkan peranan penting dalam menzahirkan sokongan rakyat terhadap penyertaan negeri itu ke dalam Malaysia dan Sedomon Gunsanad Kina dari Sabah yang lantang menegaskan kepentingan perlindungan hak dan kedudukan negeri dalam gagasan Malaysia.
"Saya memilih untuk berkongsi kisah ini kerana ia amat bertepatan dengan tema Hari Kebangsaan pada tahun ini, "Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni", yang menegaskan bahawa rakyatlah sebenarnya tonggak kekuatan negara.
"Tanpa sumbangan rakyat, sama ada kecil ataupun besar, perjuangan kemerdekaan dan pembangunan Malaysia hari ini tidak mungkin menjadi kenyataan," katanya.
Aaron turut mengingatkan rakyat agar berwaspada dengan cabaran baharu era digital yang boleh menggugat asas perpaduan dengan menyemai kebencian, polarisasi halus dan fitnah.
"Sehubungan itu, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia agar lebih bijak dan berhemah dalam menggunakan media sosial. Janganlah kita menjadi penyambung kepada berita palsu, janganlah kita menjadi penyebar kepada ujaran kebencian," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami