Skip to main content

Malaysia

Kepercayaan, keyakinan asas kerjasama pertahanan Malaysia–Jepun - Mohamed Khaled

Mohamed Khaled berkata hubungan dengan rakan strategik yang diyakini amat penting dalam usaha memelihara keselamatan, kedaulatan dan kepentingan negara, terutama dalam mendepani perubahan landskap geopolitik semasa. - Gambar fail/Bernama
Mohamed Khaled berkata hubungan dengan rakan strategik yang diyakini amat penting dalam usaha memelihara keselamatan, kedaulatan dan kepentingan negara, terutama dalam mendepani perubahan landskap geopolitik semasa. - Gambar fail/Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Elemen kepercayaan dan keyakinan menjadi asas dalam memperkukuh kerjasama pertahanan antara Malaysia dengan Jepun bagi memastikan kedua-dua negara mampu menangani cabaran keselamatan serantau yang semakin kompleks.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata hubungan dengan rakan strategik yang diyakini amat penting dalam usaha memelihara keselamatan, kedaulatan dan kepentingan negara, terutama dalam mendepani perubahan landskap geopolitik semasa.

“Untuk kita memelihara perkara-perkara itu, kita perlu mempunyai rakan-rakan yang boleh kita percaya, yang kita yakini dan yang boleh membantu kita, termasuklah dari sudut membangunkan keupayaan-keupayaan kita.

“Malaysia dan Jepun mempunyai hubungan diplomatik sejak sekian lama dalam pelbagai bidang, namun kerjasama pertahanan dan ketenteraan masih baharu dan perlu diperkukuh segera secara lebih meluas dan mendalam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas hasil lawatan kerjanya ke Jepun dari 18 hingga 21 Okt, yang juga merupakan lawatan rasmi pertamanya ke negara itu sejak memegang jawatan Menteri Pertahanan.

Mohamed Khaled berkata antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuannya dengan Menteri Pertahanan Jepun Shinjiro Koizumi pada Isnin ialah cadangan untuk mengadakan mesyuarat tahunan pada peringkat Menteri Pertahanan secara bergilir bagi melancarkan proses keputusan perbincangan.

Beliau berkata kedua-dua negara bersetuju untuk memperbanyak latihan ketenteraan dua hala dengan penerapan elemen siber, selain meneroka pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Maritim bagi merangka kerjasama secara lebih tersusun.

“Kerjasama itu bertujuan meningkatkan keupayaan Malaysia menjaga kawasan maritim negara, termasuk aspek kesedaran domain maritim yang penting dalam memantau dan memahami perkembangan keselamatan di perairan negara,” katanya.

Beliau berkata Malaysia dan Jepun turut sepakat untuk meneroka pendekatan kerajaan dengan kerajaan (G2G) berhubung perolehan aset pertahanan yang bukan sahaja melibatkan pembelian, tetapi juga membawa pemindahan teknologi serta manfaatnya kepada industri pertahanan tempatan.

"Jepun telah menyatakan kesanggupan untuk bekerjasama dalam pemindahan teknologi dan pembangunan industri pertahanan Malaysia. Hal ini selaras dengan hasrat negara membangunkan keupayaan pertahanan sendiri," katanya.  

Semalam, Mohamed Khaled turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Jepun Toshimitsu Motegi bagi menandatangani dokumen bantuan Official Security Assistance (OSA) 2026.

“Menerusi bantuan OSA 2026, Malaysia menerima satu sistem Counter-Unmanned Aerial System (C-UAS) bernilai ¥1.65 bilion (kira-kira RM40 juta) bagi memantapkan keupayaan menangani ancaman udara tanpa pemandu.

"Malaysia menghargai komitmen Jepun melalui program OSA dan turut mencadangkan agar OSA diteruskan serta dikembangkan sebagai pakej pembangunan keupayaan maritim bersepadu jangka panjang, khususnya bagi memperkukuh keupayaan pengawasan dan kesedaran domain maritim," katanya.

Sebelum ini, melalui OSA 2023 bernilai ¥400 juta (kira-kira RM12.63 juta), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima 14 unit Unmanned Aerial Vehicle (UAV) jenis Vertical Take-Off and Landing (VTOL), 7 bot penyelamat serta 2 lori pembersihan jalan.

Bagi OSA 2025, Jepun telah memperuntukkan ¥3.1 bilion (kira-kira RM80 juta), melibatkan sebuah Diving Support Vessel (DSV) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dijangka diserahkan pada 2029, serta peralatan bagi menyokong Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT) di sempadan Thailand–Kemboja.

Dalam lawatannya, Mohamed Khaled turut mengadakan pertemuan dengan Acquisition, Technology & Logistics Agency (ATLA) bagi meninjau pendekatan Jepun dalam pembangunan industri pertahanan, selain mengadakan perbincangan bersama dengan Parliamentary Vice-Minister for Foreign Affairs Jepun, Kazuhiro Fujii.

Selain itu, bagi meneroka potensi kerjasama industri tempatan, delegasi Malaysia turut melawat fasiliti syarikat pertahanan Jepun, Toshiba, di Kawasaki untuk melihat sendiri kemajuan teknologi seperti sistem radar, sistem pertahanan udara dan penyelesaian antidron.

Menjelang ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Malaysia–Jepun pada 2027, Mohamed Khaled berharap setiap persetujuan yang dicapai dapat diterjemahkan kepada manfaat nyata dalam meningkatkan keupayaan pertahanan Malaysia.

Yang turut serta dalam lawatan itu ialah Duta Besar Malaysia ke Jepun Datuk Ahmad Rozian Abd Ghani, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan Datuk Mohd Yani Daud dan Ketua Staf ATM Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhammad Huzaimi Sabri.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement