KUALA LUMPUR: Kepusatan ASEAN, keberkecualian strategik dan pematuhan undang-undang antarabangsa kekal penting bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan di tengah-tengah persaingan geopolitik yang semakin sengit di rantau Indo-Pasifik, kata Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.
Beliau berkata pendekatan ASEAN bukanlah bertujuan menghapuskan persaingan antara kuasa besar, sebaliknya memastikan ia diuruskan secara bertanggungjawab menerusi dialog, diplomasi, undang-undang antarabangsa dan kerjasama praktikal.
"Tugas yang lebih mendesak ialah menguruskannya secara bertanggungjawab, bagi mengelakkan ia menjejaskan keamanan dan kestabilan serantau," katanya dalam ucapan beliau pada Persidangan Undang-Undang dan Operasi Ketenteraan Antarabangsa ke-37 (MILOPS 26) di sini pada Isnin.
Kao turut menyokong penekanan Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin terhadap Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN), dengan menyifatkannya sebagai prinsip penting bagi rantau ini.
Beliau berkata perpaduan, solidariti dan keupayaan ASEAN untuk bersuara dengan satu suara memerlukan penyelarasan yang lebih kukuh dalam kalangan negara anggota menerusi pendekatan menyeluruh kerajaan, serta kerjasama lebih erat merentas Komuniti ASEAN.
Kao menegaskan peranan kepusatan ASEAN bukanlah mengenai penguasaan atau usaha meminggirkan kuasa lain, sebaliknya mencerminkan peranan pertubuhan itu sebagai ‘orang tengah’ yang jujur, penganjur yang dipercayai serta platform yang boleh diandalkan bagi negara-negara dengan sistem politik dan kepentingan strategik berbeza.
Beliau berkata Pandangan ASEAN mengenai Indo-Pasifik mengutarakan visi serantau yang berasaskan dialog, keterangkuman, kerjasama dan tanggungjawab bersama, dan bukannya persaingan serta pengasingan.
"Negara-negara tidak seharusnya dipaksa atau dikerah untuk memilih antara visi strategik yang bersaing," katanya.
Mengenai keselamatan maritim, beliau menegaskan semula pendirian ASEAN bahawa pertikaian harus diselesaikan secara aman selaras dengan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.
Beliau berkata, ASEAN terus komited terhadap pelaksanaan sepenuhnya dan berkesan Deklarasi mengenai Tatalaku Pihak-Pihak di Laut China Selatan serta penyelesaian segera bagi satu Kod Tatalaku yang berkesan dan substantif, yang selaras dengan undang-undang antarabangsa.
Beliau menambah tatalaku profesional di laut, komunikasi berkesan dan langkah-langkah membina keyakinan adalah perlu bagi mengelakkan salah faham serta peningkatan ketegangan yang tidak disengajakan.
Kao turut memberi amaran bahawa kecerdasan buatan, sistem autonomi, keupayaan siber dan aktiviti di angkasa lepas berkembang lebih pantas berbanding peraturan yang mengawal penggunaannya.
Beliau menggesa kerjasama lebih erat antara kerajaan, angkatan tentera, pakar perundangan, penggubal dasar dan ahli akademik bagi memastikan kemajuan teknologi terus dipandu oleh undang-undang antarabangsa serta tatakelakuan negara yang bertanggungjawab.
"Masa depan rantau Indo-Pasifik tidak akan ditentukan oleh pembahagian kuasa. Ia akan dibentuk oleh kekuatan institusi kita, daya tahan perkongsian kita serta pematuhan kolektif kita terhadap undang-undang antarabangsa," katanya.
MILOPS 26, yang berlangsung di Kuala Lumpur dari 3 hingga 6 Ogos, dianjurkan oleh Pemerintah Pasifik Amerika Syarikat (AS) dengan kerjasama erat Kementerian Pertahanan Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia.
Bertemakan "Dari Dasar Laut ke Angkasa Lepas: Memajukan Keselamatan, Kebebasan dan Kemakmuran untuk Semua di Seluruh Indo-Pasifik", persidangan itu menghimpunkan lebih 300 pemimpin tentera, peguam keselamatan negara, penggubal dasar dan cendekiawan dari lebih 30 negara, serta wakil pertubuhan antarabangsa.
Forum tahunan berkenaan bertujuan menggalakkan dialog dan kerjasama mengenai isu-isu perundangan, operasi dan dasar, di samping memperkukuh kedaulatan undang-undang serta kesamarataan kedaulatan semua negara.
-- BERNAMA