Keputusan Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskan Riza Shahriz Abdul Aziz, merupakan satu berita yang menggembirakan untuk golongan pencuri di negara ini, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad

Dalam catatan bertajuk “Plea Bargain II” di blognya, Dr Mahathir secara sinis berkata, kaedah penyelesaian yang dicapai antara pihak pendakwaraya dengan tertuduh merupakan sesuatu perkara yang unik, kerana konsep ‘plea bargaining’ belum lagi digunapakai oleh sistem kehakiman di negara ini.


Katanya lagi, kenyataan bekas ayah tiri Riza iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa konsep itu bukan ‘plea bargaining’ merupakan satu hujah yang tidak tepat kerana keputusan hakim jelas menunjukkan konsep itu telah digunapakai, hingga mengakibatkan keputusan itu telah dicapai.

“Najib berkata keputusan berhubung kes penyelewengan dana melibatkan Riza Aziz adalah sesuai kerana penyelewengan dana bukan sesuatu jenayah. Maka penyelesaian itu bukan konsep ‘plea bargaining’.

“Jika ia bukan satu jenayah, atas sebab apa keputusan melepas tanpa membebaskan itu dicapai – melepaskan untuk apa jika penyelewengan itu bukan satu jenayah? Kebetulan undang-undang yang turut digunapakai ialah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) – yang sudah pasti bukan jenayah.

“Sebutlah ia dengan apa nama sekalipun, tetapi keputusan itu satu perkara yang unik. Seorang pencuri yang ditahan atas kesalahan mencuri, atau menyalahguna kuasa, atau memperolehi sesuatu secara haram, dan kemudian diminta memulangkannya semula. Dia kemudian dilepas walaupun tidak dibebaskan,” tulis Ahli Parlimen Langkawi itu lagi.

Pada 14 Mei lepas, Hakim Mahkamah Sesyen, Azman Ahmad membenarkan Riza Shahriz dilepas tanpa dibebaskan daripada tuduhan menyeleweng dana 1Malaysia Development berjumlah RM1.25 bilion, dan keputusan itu dicapai selepas melalui persetujuan antara tertuduh dan pihak pendakwaan.

Melalui persetujuan itu, ketua pasukan pendakwaraya, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, Kerajaan Persekutuan akan menerima sejumlah wang bernilai jutaan ringgit.

BACA: Riza Aziz dilepas, Malaysia dijangka terima semula RM465.3 juta - SPRM

BACA: Pembebasan Riza Aziz, Dr. Mahathir bimbang

Dalam catatan bertarikh 21 Mei, 2020 bertajuk ‘Plea Bargain’, Dr Mahathir berkata keputusan mahkamah itu tidak sepatutnya berlaku kerana Riza tidak memulangkan semua sekali wang yang dipercayai diseleweng dari dana 1MDB.

Beliau berkata, rakyat merasa jijik dan marah, dan akan mempersoalkan bahawa apakah itu jenis keadilan yang diamalkan di negara ini.

Najib dalam maklumbalas bertarikh 22 Mei pula berkata, penyelesaian yang dicapai antarah pendakwaraya dan tertuduh itu bukan ‘plea bargaining’ kerana tuduhan ke atas Riza bukan dibuat di bawah Kanun Keseksaan.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir bertanya kembali, jika bukan ‘plea bargaining’, maka apakah terma yang sesuai untuk menggelar kemurahan hati Kerajaan Malaysia?

“Seperti Datuk Seri Anwar pernah sebut - di Malaysia anda boleh mencuri sepuluh ekor ayam dan hanya perlu memulangkan seekor sahaja dan anda bebas menikmati sembilan yang lain

“Ini berita gembira untuk pencuri. Malah mungkin ia bagus untuk sesetengah peguam di negara ini. Tetapi kita harus berhati-hati dengan poket dan simpanan kita. Dan pelancong asing juga harus berhati-hati. Ini merupakan normal baharu di negara ini,” tulis beliau lagi.