KUALA LUMPUR: Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 akan diumumkan pada 10 Jun 2021, Khamis depan. 

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin, mengumumkan perkara itu dalam satu perkongsian video pendek di laman Facebooknya, hari ini.

Sementara itu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan tidak lama kemudian, Kementerian Pendidikan berkata, calon sekolah dan calon persendirian boleh membuat semakan keputusan melalui dua kaedah bermula jam 10 pagi.

"Pertama - dengan kaedah dalam talian di portal Lembaga Peperiksaan http://lp.moe.gov.my untuk mendapatkan keputusan penuh.

"Kedua - dengan menerusi perkhidmatan SMS untuk mendapatkan ringkasan keputusan SPM 2020 dengan menaip SPM<jarak>NoKP<jarak>AngkaGiliran dan hantar ke 68886," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut, kesemua perkhidmatan ini akan diaktifkan mulai jam 10 pagi pada 10 Jun 2021 sehingga jam 6 petang pada 17 Jun 2021.

Bagaimanapun, bagi calon sekolah tidak mempunyai capaian Internet, katanya pihak sekolah akan mengenal pasti calon tersebut dan memaklumkan kaedah sesuai untuk memperoleh keputusan peperiksaan.

"Bagi calon persendirian yang tidak mempunyai capaian Internet pula, pihak Jabatan Pendidikan Negeri atau Pejabat Pendidikan Daerah akan kenal pasti calon persendirian tersebut dan maklumkan kaedah sesuai untuk mendapatkan keputusan peperiksaan," kata kenyataan itu.