Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Jerebu: Kepulan asap berpunca daripada kelompok titik panas di Kalimantan, Sumatera - JAS

SEPANG, 29 Sept - Keadaan jerebu menyelubungi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang hari ini. Bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di Sepang mencatatkan paras tidak sihat iaitu 164 pada pukul 3 petang tadi. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
ASMC melaporkan jerebu rentas sempadan sederhana diperhatikan meliputi beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, Singapura dan bahagian barat laut Borneo. - Foto Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu yang melanda negara ketika ini berpunca daripada kepulan asap sederhana sehingga tebal daripada kelompok titik panas yang dikesan pada sebahagian besar kawasan Kalimantan serta bahagian tengah dan selatan Sumatera. 

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS) Azuri Azizah Saedon berkata ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) semalam melaporkan sebanyak 327 titik panas dikesan di Kalimantan, manakala 191 lagi di Sumatera, selain satu titik panas dikesan di Sarawak.

“ASMC turut melaporkan jerebu rentas sempadan sederhana diperhatikan meliputi beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, Singapura dan bahagian barat laut Borneo,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, beliau berkata JAS terus memperkukuh tindakan pemeriksaan, rondaan dan pemantauan di kawasan yang terdedah kepada risiko kebakaran, khususnya di kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah, berikutan keadaan cuaca panas dan kering yang berterusan.

“Sekiranya terdapat kesalahan yang dikenal pasti, tindakan susulan akan diambil berdasarkan hasil pemeriksaan, siasatan dan bukti yang diperoleh di lapangan,” katanya.

Azuri Azizah berkata JAS akan terus memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU), titik panas dan perkembangan jerebu rentas sempadan, dengan mengambil kira maklumat meteorologi sebagai input dalam penilaian situasi serta penyelarasan tindakan pengurusan jerebu pada peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

Setakat 2 petang ini, 23 kawasan di Semenanjung Malaysia mencatatkan IPU tidak sihat dengan bacaan tertinggi direkodkan di beberapa negeri, iaitu Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Pahang, serta Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Beliau berkata tindakan JAS dilaksanakan secara bersepadu selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK), yang menetapkan peranan pelbagai agensi berdasarkan tahap dan perkembangan situasi jerebu.

Pada masa sama, JAS akan terus mengemukakan maklumat berkaitan perkembangan situasi, hasil pemantauan, rondaan, Operasi Membanteras Pembakaran Terbuka (OMPT) dan tindakan penguatkuasaan secara berkala mengikut mekanisme pelaporan yang ditetapkan.

Beliau berkata langkah itu bagi memastikan perkembangan situasi dapat dinilai secara berterusan dan tindakan sewajarnya dapat diselaraskan pada semua peringkat.

JAS turut menekankan kerjasama pihak industri dalam memastikan pelepasan udara daripada punca utama dikurangkan, khususnya di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 300.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement