KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 9 Nov depan untuk memutuskan sama ada Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilepaskan atau disabitkan atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.

Berdasarkan carian dalam sistem kehakiman hari ini, Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid akan menyampaikan keputusan di akhir kes pembelaan itu pada 9 pagi.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharudin Wan Ladin ketika dihubungi mengesahkan tarikh tersebut.

Pada 14 Mac lepas, pasukan pembelaan menutup kesnya selepas memanggil empat saksi termasuk Syed Saddiq yang memberi keterangan membela diri selama dua hari bermula 22 Feb lepas.

Pada 28 Okt tahun lepas, Syed Saddiq, 30, diperintahkan membela diri atas empat pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Pihak pendakwaan menutup kesnya pada 27 Sept 2022, selepas memanggil 30 saksi dalam perbicaraan yang bermula 21 Mei 2022 dan antara saksi pendakwaan ialah ibu dan bapa Syed Saddiq, Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz dan Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff serta Rafiq Hakim yang merupakan bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu.

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bekas Ketua Armada itu didakwa menyalah guna RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 dan 21 April 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, dipercayai merupakan hasil aktiviti haram di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA