Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan mempunyai bajet untuk melaksanakan Program Sarapan Percuma (PSP) kepada pelajar-pelajar sekolah rendah mulai tahun depan.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan boleh menggunakan peruntukan untuk program berkenaan daripada wang yang diperoleh daripada pelbagai agensi misalnya, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

"Biasanya walaupun ada kementerian yang kutip duit banyak, ia tidak bermakna ia (bajet) diberi kepada kementerian itu sahaja, kalau macam itu kastam kaya," kata beliau pada sidang media bersama wartawan Malaysia, di sini sebelum mengakhiri lawatan rasmi tiga hari ke Vietnam pada Rabu.

Ketika ditanya jika sumber kewangan untuk program berkenaan mungkin datangnya daripada cukai gula, Dr Mahathir berkata, perkara itu sedang diperhalusi.

"Semua cukai dikutip masuk satu dana dan diagih kepada pelbagai kementerian, kalau ada keperluan dan peruntukan tambahan, kita akan pertimbangkan, kalau mampu kita bagi," ujar beliau.

Beliau menambah, kerajaan kini berdepan kesukaran untuk melaksanakan pelbagai program disebabkan kekangan bajet akibat tindakan kerajaan terdahulu yang meninggalkan terlalu banyak hutang.

Ditanya saranan peribadi beliau mengenai menu bersesuaian dan terbaik untuk sarapan pelajar serta murid apabila PSP dilaksanakan kelak, Perdana Menteri berkata, terdapat banyak menu sihat boleh difikirkan oleh pihak kementerian berkenaan.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengumumkan kira-kira 2.7 juta murid sekolah rendah kerajaan dan bantuan kerajaan akan mendapat sajian sarapan berkhasiat secara percuma bermula sesi persekolahan tahun 2020.

Menurut Maszlee, langkah itu dibuat kerana di sebalik pemberian makanan percuma, berlaku perkara penting iaitu proses pendidikan sivik dan disiplin dapat diterapkan dalam kalangan pelajar.

Malah, kata Maszlee, PSP juga mampu meringankan perbelanjaan keluarga dengan memberi penjimatan kira-kira RM2.3 bilion kepada ibu bapa di Malaysia untuk menyediakan wang saku kepada anak mereka.

Pakar ekonomi pula menyifatkan, inisiatif itu baik kerana ia merupakan pelaburan besar untuk generasi akan datang yang akan mewarisi negara dalam tempoh 20 tahun.

Sementara itu, satu jawatankuasa khas juga akan ditubuhkan bagi membincang secara terperinci peruntukan yang bakal digunakan termasuk penggunaan dana daripada cukai gula.

BACA: Sarapan percuma buat pelajar sekolah rendah mulai Januari 2020 - Maszlee Malik