Kerajaan akan mengkaji semula kadar gaji minimum mengikut sektor pekerjaan berbanding ketetapan cadangan sebelum ini.

Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran berkata, langkah pengenalan kadar gaji minimum baharu itu akan diperkenalkan sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun akan datang selepas mengambil kira kesesuaian semasa mengikut sesuatu sektor pekerjaan itu.

Beliau berkata, sebagai contoh kadar minimum di Sabah secara umumnya sebelum ini dinaikkan kepada RM1,100 daripada RM920 yang dilihat sedikit sebanyak menimbulkan aduan daripada pemain industri di negeri ini.

"Untuk makluman, kadar minimum di Sabah sebelum ini pernah dinaikkan kepada RM1,100 daripada RM920, banyak peniaga membuat aduan dan ada daripadanya terpaksa tutup kedai kerana perbelanjaan tinggi.

"Kini, kadar gaji minimum yang dikuatkuasakan adalah sama rata bagi semua pekerja tanpa memilih sektor jadi kita akan melihat untuk mewujudkan kadar gaji minimum berdasarkan sektor seperti contoh perladangan dengan kadar gajinya, begitu juga sektor perhotelan dan lain-lain sektor," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) di Kota Kinabalu, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Kula Segaran berkata, Kerajaan Persekutuan akan mempertimbangkan untuk memperluaskan lagi akta berkaitan pekerja ke Sabah dan Sarawak melibatkan Akta Standard Minimum Perumahan Kemudahan Pekerja 1990.

Jelasnya, pindaan tersebut akan diperkemaskan selepas mengambil kira akta berkenaan hanya diguna pakai di Semenanjung sahaja dan bukannya di Sabah dan Sarawak yang 'terikat' dengan undang-undang buruh mereka sendiri.

"Kita akan berbincang dengan kedua-dua kerajaan negeri berhubung tindakan ini supaya mereka (Sabah dan Sarawak) juga boleh mendapat manfaat seperti kemudahan perumahan di Semenanjung," katanya.