Berbagai inisiatif hijau telah dilaksanakan oleh pihak PLANMalaysia sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad.

Khalid berkata, inisiatif-inisiatif hijau ini dilaksanakan sebagai usaha menyokong agenda pembangunan mampan bagi menangani masalah alam sekitar serta mewujudkan persekitaran bandar-bandar yang lebih berkualiti.

Beliau juga menjelaskan program pembangunan hijau ini hanya mampu dijayakan dengan adanya kerjasama serius daripada semua pihak.

"Saya percaya, kita semua tidak keberatan untuk menyumbang sedikit tenaga dan usaha untuk memelihara keharmonian alam sekitar dengan pelaksanaan gaya hidup hijau seperti mengurangkan sisa buang domestik dengan mengamalkan kitar semula, mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian bagi mengurangkan perlepasan karbon, mewujudkan kebun bandar atau komuniti dan sebagainya," katanya ketika berucap sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2019 peringkat kebangsaan.

Terdahulu dalam ucapannya Khalid menjelaskan inisiatif-inisiatif menghijaukan bandar dipergiatkan sebagai usaha kerajaan bagi mengatasi masalah kemerosotan kualiti alam sekitar akibat pembangunan.

Jelas beliau, perancang bandar berusaha mengawal kemerosotan alam sekitar itu melalui kawalan perancangan dan memperkenalkan inisiatif menghijaukan bandar.

Mengulas lanjut, Khalid menyeru semua pihak berkaitan termasuk Perancang Bandar, Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT), agensi kerajaan dan swasta, supaya memainkan peranan yang proaktif dalam membantu kerajaan memelihara keharmonian alam sekitar.

"Seperti penganjuran program HPBS hari ini, kita juga secara tidak langsung menerapkan kesedaran untuk bersama-sama menghayati usaha memelihara alam sekitar bukan sahaja kepada agensi terlibat tetapi juga kepada masyarakat.

"Dengan kerjasama bersepadu daripada semua pihak, akan dapat merealisasikan bandar hijau sekaligus mampu mewujudkan persekitaran hidup yang lebih kondusif dan seimbang," katanya.

Sementara itu, Amirudin berkata kerajaan negeri juga akan mengambil langkah proaktif dalam memberi kesedaran berhubung kepentingan memelihara alam sekitar termasuk di peringkat sekolah di negeri ini.

Beliau berkata kerajaan Selangor juga akan mengawal aktiviti pembangunan bandar sebaiknya supaya rakyat negeri itu dapat menikmati alam sekitar yang bersih.

"Kerajaan negeri juga tidak lama lagi akan mewujudkan Jawatankuasa Penyelarasan Bandar Berdaya Huni di bawah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar negeri, Haniza Talha bagi menjayakan usaha ini.

"Menerusi langkah ini, kita berharap isu kesejahteraan kehidupan komuniti dapat di tambah baik termasuk menjayakan negeri Selangor sebagai negeri rendah karbon menjelang 2030," katanya.