PUTRAJAYA: Polis sedang mengesan tiga individu dipercayai terlibat dalam kejadian pecah masuk sebuah premis menjual beg tangan mewah di sebuah kompleks beli-belah di Cyberjaya, dengan melibatkan kehilangan 25 beg tangan bernilai RM90,000.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira 12.30 tengah hari semalam daripada seorang wanita yang juga pemilik premis berkenaan.
"Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tiga suspek bertopeng dan berpakaian serba hitam telah memasuki premis sebelum menggeledah serta mengambil beg tangan yang dipamerkan di rak," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata berdasarkan siasatan awal di lokasi kejadian, suspek dipercayai menceroboh ke dalam premis dengan cara mengumpil tingkap tandas.
Norhizam berkata kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan kejadian itu turut tular menerusi media sosial.
Sehubungan dengan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat Sarjan Mohd Faizal Rashid @ Jaafar melalui talian 013-2222652 bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA