KUALA LUMPUR: Tentera Darat Malaysia (TDM) terus memperketat kawalan di sempadan negara bagi mengekang kegiatan penyeludupan dengan merekodkan kejayaan tangkapan dan rampasan hampir setiap hari.
Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman berkata kawalan di sepanjang sempadan tidak pernah dilonggarkan, malah anggotanya sentiasa berada dalam kesiapsiagaan tinggi bagi memastikan kedaulatan negara terpelihara.
Beliau berkata TDM juga telah mengenal pasti lokasi yang sering digunakan sebagai laluan tradisi oleh penyeludup dan memperketat pengawasan di kawasan berkenaan.
“Alhamdulillah setakat ini semua operasi yang dirancang bagi kawalan sempadan di seluruh negara berjalan dengan lancar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek menaik taraf Masjid Thoriq Bin Ziyad TDM dan Program Forum Perdana sempena sambutan Hari Tentera Darat ke-93 di Kem Perdana Sungai Besi, di sini hari ini.
Azhan berkata antara fokus operasi adalah membanteras penyeludupan barang terkawal seperti bahan api dan minyak masak selain barangan lain termasuk haiwan ternakan.
Katanya, antara kejayaan terbaharu ialah rampasan 115 kampit beras yang diseludup dari Thailand dalam tiga kejadian berasingan di sekitar Sungai Golok, Kelantan, Isnin lepas.
Selain itu, beliau berkata tender perolehan empat helikopter kombat utiliti bagi kegunaan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) belum dimuktamadkan dan beberapa perolehan aset lain masih berada pada peringkat awal penilaian.
Sebelum ini, media melaporkan PUTD dijadualkan menerima lapan helikopter yang dijangka tiba dan beroperasi secara berperingkat mulai Ogos tahun hadapan.
Perolehan tersebut membabitkan empat helikopter AW149 secara sewaan pajakan selama 15 tahun, manakala empat lagi helikopter kombat utiliti akan disewa selama lima tahun menerusi tender terbuka.
Dalam pada itu, beliau berkata Masjid Thoriq Bin Ziyad di Kem Sungai Besi yang selesai dinaik taraf dengan kos RM5.3 juta kini mampu menampung sehingga 1,700 jemaah berbanding 1,200 orang sebelum ini.
Projek tersebut turut melibatkan pembinaan pintu pagar utama baharu, laluan pejalan kaki berbumbung, penggantian kubah serta penyediaan kawasan parkir yang juga berfungsi sebagai ruang serbaguna.
-- BERNAMA