SHAH ALAM: Kerajaan akan membawa dan meminda Rang Undang-Undang umur penghantar makanan p-hailing daripada 21 tahun kepada 18 tahun di Dewan Rakyat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pindaan RUU itu penting bagi membolehkan p-hailing yang berusia 18 tahun boleh mendapatkan lesen kenderaan barangan (GDL).

"Dari segi umur memang saya katakan kita akan pinda undang-undang daripada 21 tahun ke 18 tahun untuk mendapatkan GDL di Parlimen. Proses itu kemudian akan memudahkan para riders.

"Kita akan membuat satu proses di mana kawal selia itu akan cukup mudah dan tidak membebankan kepada penunggang p-hailing. Janganlah bimbang dari segi umur akan diturunkan daripada 21 ke 18 ," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Townhall Rakyat bersama Menteri Pengangkutan anjuran Sinar Harian di Shah Alam pada malam Isnin.

Selain itu, Ahli Parlimen Seremban itu juga meminta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya melanjutkan masa operasi setiap kiosk JPJ.

Ia katanya termasuk memperluaskan peletakan kiosk tersebut di kawasan-kawasan tumpuan ramai dan strategik seperti KL Sentral dan pusat beli-belah.

"Buat macam syarikat telekomunikasi ataupun bank yang mana bank tutup orang ramai masih boleh menggunakan mesin ATM," katanya.