Kerajaan Persekutuan mempunyai pelbagai program jangka panjang untuk meningkatkan industri pelancongan di pulau bebas cukai Labuan, kata Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

"Tourism Malaysia sedang melaksanakan pelbagai langkah untuk meningkatkan sektor pelancongan domestik manakala Pusat Maklumat Pelancong Labuan akan mempromosi pulau itu dengan bantuan 14 pejabat tempatan serta 43 pejabat antarabangsa," katanya ketika satu perjumpaan dengan penggiat industri pelancongan di sini, pada Jumaat.

Teks ucapannya dibaca Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Rashidi Hasbullah.

Menurutnya, antara acara dirancang oleh kementerian ialah Festival Air Labuan 2016 mulai 29 April hingga 1 Mei, Festival Muzium Seni - Rasa dan Warna Borneo (23-24 Julai), Karnival Rekreasi Pelancongan (28-29 September) dan Hari Peringatan pada 13 November 2016.

"Kita juga sedang menimbang untuk membina jeti di Pulau Rusukan Besar dengan anggaran kos RM1.1 juta pada pelan pusingan kedua 2018-2019," katanya.

Sementara itu, anggota Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli berkata, jumlah ketibaan pelancong ke Labuan merosot 2.6 peratus daripada 1.04 juta pada 2014 kepada 1.02 juta pada 2015.

"Industri minyak adalah sumber utama Labuan dan kejatuhan harga minyak memberi kesan kepada industri pelancongan di sini. Saya berpendapat industri pelancongan Labuan berpotensi menjadi enjin pertumbuhan untuk ekonomi pulau ini," katanya.

Tahun lalu, kemelesetan ekonomi global telah menyebabkan kejatuhan ketibaan pelancong kepada 25.72 juta berbanding 27.4 juta pada 2014.

Berikutan itu hasil daripada pelancong susut empat peratus, menyumbang RM69.12 bilion kepada pendapatan negara berbanding RM72 bilion pada 2014.