MALAYSIA
Kerajaan ambil pendekatan komprehensif, tidak terburu-buru kaji umur persaraan - Dr Zaliha

Dr Zaliha berkata, kajian di bawah Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan itu akan mengambil kira pelbagai aspek termasuk kesihatan dan produktiviti. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kajian berhubung cadangan menaikkan umur persaraan wajib kepada 65 tahun bagi penjawat awam dan sektor swasta akan dilakukan secara komprehensif dan tidak terburu-buru, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Ringkasan AI
- Kerajaan sedang menjalankan kajian komprehensif di bawah Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan untuk menilai cadangan menaikkan umur persaraan wajib kepada 65 tahun, melibatkan aspek kesihatan, produktiviti, peluang kenaikan pangkat dan kemampuan kewangan negara.
- Kajian turut mempertimbangkan pelaksanaan secara berperingkat, pilihan bersara awal, serta syarat pemeriksaan kesihatan dan psikometrik, namun sehingga dimuktamadkan, umur persaraan kekal pada 60 tahun seperti diperuntukkan dalam Akta Pencen 1980.
- Bagi menyokong kesejahteraan warga emas, kerajaan mencadangkan konsep perumahan mesra warga emas melalui PSKL dan PTKL 2040, serta memperluas jaringan laluan pejalan kaki berbumbung di Kuala Lumpur untuk mobiliti cekap dan mesra alam.
"Dalam perbincangan bersama Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) pula, beberapa aspek masih lagi diteliti termasuk keperluan pelaksanaan secara berperingkat, memberi pilihan kepada penjawat awam untuk bersara lebih awal serta syarat pemeriksaan kesihatan dan psikometrik bagi mereka yang ingin berkhidmat sehingga usia 65 tahun," katanya.
Dr Zaliha berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata sehingga kajian itu dimuktamadkan, umur persaraan wajib masih kekal pada 60 tahun seperti yang diperuntukkan dalam Akta Pencen 1980 (Akta 227) dan Akta Pencen Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 1980 (Akta 239).
Berhubung langkah untuk membantu golongan warga emas yang bilangannya dijangka mencecah 17.3 peratus menjelang 2040 pula, Dr Zaliha berkata kementerian melalui Pelan Struktur Kuala Lumpur (PSKL) 2040 dan Pelan Tempatan Kuala Lumpur (PTKL) 2040 telah mencadangkan pelbagai konsep perumahan mesra warga emas.
Ini termasuk rumah persaraan, rumah bantuan perubatan dan perkampungan persaraan dengan lapan tapak Perumahan Awam Sewa Bersubsidi (PASS) telah dikenal pasti, termasuk dua di Bukit Bintang untuk ditawarkan kepada golongan tidak berkemampuan termasuk warga emas.
Selain itu, beliau berkata Kuala Lumpur kini juga mempunyai 24.64 kilometer laluan pejalan kaki berbumbung yang bersambung dengan pengangkutan awam, dan jaringan itu akan terus diperkukuh selaras dengan matlamat PTKL 2040, sekali gus menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar mobiliti cekap dan mesra alam.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami