KUALA LUMPUR: Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Kerajaan Negeri Selangor akan  menganjurkan Program Madani Rakyat Zon Tengah pada 23 hingga 25 Februari ini di Kompleks Sukan Kuala Selangor.

Sekretariat Program Madani Rakyat  dalam satu kenyataan memaklumkan, ia adalah kesinambungan daripada Program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Disember tahun lalu.

Jelas sekretariat itu, program berkenaan diteruskan ke peringkat negeri mengikut zon bagi memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk bersama-sama memahami, melihat dan menilai dasar serta inisiatif baharu yang dilaksanakan oleh Kerajaan Madani dalam usaha meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

"Program Madani Rakyat Zon Tengah merangkumi Negeri Selangor, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. 

"Program Madani Rakyat juga merupakan wadah untuk masyarakat mendapatkan perkhidmatan secara terus daripada kementerian-kementerian di peringkat Kerajaan Persekutuan dan agensi-agensi peringkat negeri, di samping memberi peluang kepada masyarakat umum mengemukakan pandangan dan cadangan untuk menambah baik mutu perkhidmatan.

"Program seperti ini juga mewujudkan saluran komunikasi berterusan antara masyarakat dengan kerajaan, sekali gus memperkukuhkan hubungan dalam usaha membina negara yang lebih sejahtera selaras dengan agenda Malaysia Madani," katanya sekretariat itu dalam kenyataan, hari ini.

Sekretariat Program Madani Rakyat menambah Program Madani Rakyat Zon Tengah memberi tumpuan kepada aktiviti yang berkaitan dengan pertanian dan keterjaminan makanan, program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta kesejahteraan rakyat.

Selain itu, pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor khususnya.

Dalam masa sama, sekretariat itu menambah program berkenaan turut melibatkan kerjasama strategik syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta.

"Selain itu, Jualan Agro dan Mega Madani yang menawarkan potongan harga dan tawaran istimewa serta pameran asetaset kerajaan turut disediakan untuk pengunjung," kata sekretariat itu lagi.

Majlis penutupan Program Madani Rakyat Zon Tengah bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 25 Februari dan dijangka dihadiri oleh kepimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan dan Negeri.   

Orang ramai dijemput untuk bersama-sama hadir memeriahkan Program Madani Rakyat Zon Tengah pada 23 hingga 25 Februari 2024 bermula 9.00 pagi hingga 10.00 malam.