CYBERJAYA: Kerajaan berhasrat memperbanyakkan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Autisme Berkefungsian Tinggi (PPDK HFA) di seluruh negara yang memberi fokus terhadap mengembangkan potensi kanak-kanak istimewa.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata ketika ini terdapat dua pusat sahaja iaitu PPDK Templer di Rawang dan PPDK HFA Cyberjaya.

"Memang menjadi hasrat kementerian untuk menambah bilangan PPDK HFA ini tapi kita perlu lihat pada keperluan kerana di PPDK kita ada pengkhususan tertentu.

"Kita harap lebih banyak PPDK ditubuhkan mengikut jenis ketidakupayaan agar anak-anak istimewa ini mendapat peluang pemulihan dan pendidikan yang sama," katanya pada sidang media selepas menghadiri program Sentuhan Kasih Orang Kurang Upaya (OKU) Prihatin Rakyat di sini, hari ini.

Menurut statistik, sehingga 30 Jun 2022, seramai 36,601 individu di Malaysia disahkan mempunyai autisme dan daripada angka itu, seramai 24,748 individu terdiri daripada golongan kanak-kanak bawah umur 12 tahun.

PPDK merupakan inisiatif di bawah Program Pemulihan Dalam Komuniti kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menumpukan kepada penyediaan premis dan kemudahan untuk pemulihan, pendidikan, aktiviti dan latihan khusus bagi mengintegrasikan OKU ke dalam masyarakat.

Dalam pada itu, Rina berkata daerah Sepang telah dipilih sebagai projek rintis bagi meningkatkan dan mempromosikan pendaftaran OKU secara agresif, iaitu akan bermula hari ini sehingga 31 Okt depan.

"Sehingga hari ini, hanya 2.05 peratus OKU yang berdaftar dengan JKM iaitu angka yang masih kecil berbanding anggaran 15 peratus OKU dalam negara," katanya menambah sejumlah 619,273 OKU telah berdaftar dengan JKM setakat 31 Ogos lepas.

Beliau turut menyeru ibu bapa dan penjaga agar memastikan anak-anak istimewa didaftarkan sebagai OKU agar mereka menerima kesemua manfaat yang telah disusun kerajaan bagi golongan itu.

Pada program sama, Rina menyampaikan sumbangan Bantuan Kewangan Tambahan Kerajaan sebanyak RM225,679.55 kepada 22 PPDK di beberapa negeri.

Bagi 2022, kerajaan telah memperuntukkan bantuan kewangan sejumlah RM102.5 juta yang telah disalurkan kepada 568 PPDK seluruh negara melalui JKM.

-- BERNAMA