Kerajaan berjaya dapatkan semula RM31.2 bilion dana berkaitan 1MDB dan SRC sejak Disember 2018 hingga September 2025

Dana AA MKA dikawal selia secara ketat dan hanya digunakan untuk melunaskan hutang serta memenuhi komitmen sedia ada 1MDB dan SRC. - Gambar hiasan/Reuters
KUALA LUMPUR: Kerajaan berjaya mendapatkan semula dana berjumlah RM31.2 bilion (termasuk hibah dan pelarasan tukaran wang asing) berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC) sejak penubuhan Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (AA MKA) pada Disember, 2018 sehingga 30 September, 2025.
Menteri Kewangan memaklumkan dana AA MKA tidak dibelanjakan untuk perbelanjaan mengurus atau pembangunan baharu, sebaliknya dikawal selia secara ketat dan hanya digunakan untuk melunaskan hutang serta memenuhi komitmen sedia ada 1MDB dan SRC.
Langkah itu penting bagi memastikan dana awam tidak terus terbeban akibat liabiliti legasi skandal tersebut, katanya.
"Setakat 30 September, 2025, dana AA MKA masih berbaki sebanyak RM5.29 bilion, manakala baki obligasi hutang 1MDB pula masih berbaki sebanyak RM24.46 bilion.
"Jumlah tersebut meliputi sukuk terbitan nota jangka sederhana Islam (IMTN) berjumlah RM9.02 bilion, merangkumi prinsipal (RM5 bilion) dan faedah (RM4.02 bilion) dan Pendahuluan Pemegang Saham daripada Kementerian Kewangan (MOF) dan Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) (RM15.44 bilion)," kata kementerian itu menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Dewan Rakyat hari ini.
Kementerian Kewangan berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) mengenai cara kerajaan memastikan pemulangan aset dana awam yang berjaya dipulihkan daripada kes berprofil tinggi sejak 2022 dimanfaatkan untuk projek pembangunan rakyat dengan mekanisme pemantauan telus dan berkesan.
Dalam pada itu, Kementerian Kewangan juga memaklumkan kerajaan terus komited memperhebatkan usaha mendapatkan semula semua dana berkaitan 1MDB dan SRC yang telah diseleweng dengan matlamat utama untuk memaksimumkan pulangan bagi melunaskan baki hutang serta memenuhi komitmen 1MDB dan SRC mengikut tempoh ditetapkan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


