KUALA LUMPUR: Kerajaan yang pernah berdiri gah boleh kehilangan kepercayaan dan akhirnya jatuh bila mutu khidmat kepada rakyat tidak diperkukuh.
Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, penghormatan kepada sesuatu institusi sewajarnya mendorong individu bekerja lebih amanah dan bertanggungjawab, bukannya dijadikan alasan untuk berasa megah serta kebal daripada teguran.
"Berhati-hatilah agar tidak dilihat hanya prihatin di hadapan umum, tetapi kurang bersungguh-sungguh menyusuli keperluan rakyat selepas sesuatu majlis berakhir.
"Kemesraan ketika program perlu diteruskan ketika rakyat datang ke pejabat, membuat panggilan atau menghantar aduan.
"Jangan seseorang hanya disantuni di hadapan kamera, tetapi dibiarkan tanpa jawapan ketika kembali menuntut janji yang diberikan," katanya dalam catatan di laman Facebook miliknya hari ini.
Dalam pada itu katanya, apabila layanan di 'pentas' berbeza dengan layanan dalam urusan seharian, rakyat akan menganggap ia sebagai lakonan.
"Ketika itulah gambar yang dahulunya membawa harapan boleh menjadi bahan sindiran dan ucapan tentang kebajikan mengundang cemuhan.
"Jika ada kekangan, jawablah dengan jujur. Jika peruntukan terbatas, jelaskanlah. Jika urusan memerlukan masa atau tertakluk kepada peraturan, maklumkanlah dengan bahasa yang baik.
"Jangan menjanjikan sesuatu semata-mata untuk meredakan keadaan, kemudian membiarkan rakyat menunggu tanpa khabar," jelasnya.
Jelasnya, setiap rakyat memiliki hati dan perasaan selain mempunyai keluarga yang mendengar cerita tentang layanan yang diterima.
"Pengalaman seorang ibu di kaunter, seorang ayah yang berulang-alik ke pejabat atau seorang anak muda yang tidak mendapat jawapan akan dibawa pulang menjadi cerita tentang kelemahan kepimpinan yang ada. Jadi, jangan terlalu selesa dengan kedudukan," ujarnya.
Tegas Syed Ali, setiap amanah, janji dan tindakan akan dihitung di akhirat kelak termasuk hak rakyat yang tertangguh kerana kecuaian.
Katanya lagi, teguran berkenaan merupakan peringatan buat semua yang mempunyai kelemahan, tetapi perlu sentiasa membuka ruang untuk memperbaiki layanan, mengurus dan menunaikan tanggungjawab.