KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang untuk memperuntukkan sebanyak RM104 juta bagi tujuan pembangunan Kampung Baru Cina di Semenanjung Malaysia, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata jika Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) diluluskan di peringkat Dewan Negara, kementeriannya akan melihat kepada empat bidang utama dalam usaha pembangunan berkenaan.

"Pertama ialah soal pembangunan infrastruktur asas di Kampung Baru Cina iaitu pelaksanaan projek-projek pembangunan bersakala kecil bagi menyediakan kemudahan infrastruktur asas dan kemudahan sosial bagi memastikan kesejahteraan penduduk kampung.

"Kedua ialah mempromosikan produk-produk Kampung Baru Cina iaitu mengenal pasti produk keluaran kampung baru yang berpotensi untuk dikomersialkan dengan menaik taraf dari segi pembungkusan dan pemasaran supaya ia lebih menarik dan berdaya saing," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata, kementerian juga bercadang menjadikan Kampung Baru Cina yang berpotensi sebagai destinasi pelancongan melalui pelaksanaan projek-projek pembangunan bagi menjana pendapatan penduduk kampung dan merancakkan aktiviti ekonomi setempat.

"Kita juga akan mengadakan program keceriaan Kampung Baru Cina iaitu menggunakan pendekatan dari bawah ke atas yang melibatkan pemimpin tempatan dan penduduk kampung bersama-sama mengindah dan menceriakan kampung bagi memastikan persekitaran yang kondusif dan bersih," katanya.

Beliau berkata daripada peruntukan itu, kementerian menyasarkan sebanyak RM67.38 juta bagi pembangunan infrastruktur, RM5 juta bagi bantuan baik pulih rumah, RM1.12 juta untuk pembinaan rumah baharu dan sebanyak RM10.5 juta bagi pembiayaan penduduk melibatkan bantuan dana dan pinjaman mikro .

Terdahulu, media melaporkan pada 2021 kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM84 juta bagi pembangunan Kampung Baru Cina membabitkan kemudahan infrastruktur dan komuniti.

-- BERNAMA