KUALA LUMPUR: Kerajaan mencari satu formula bagi menambah baik tatakelola Approved Permit (AP) dan Permit Import (IP) ke arah meningkatkan daya saing negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata perkara itu penting kerana ia bukan sahaja memberi keuntungan kepada pengguna tetapi juga pengeluar tempatan terutama dalam memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi.

Beliau berkata perkara itu antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN) pertama yang diadakan untuk tahun ini.

"Selain itu, beberapa perkara lain turut dipersetujui antaranya setiap agensi kawal selia yang berkaitan diminta mengemukakan kaedah penambahbaikan kepada Jemaah Menteri bagi meningkatkan kecekapan dan ketelusan proses analisis risiko import," katanya menerusi perkongsian di Facebook selepas mempengerusikan mesyuarat itu, pada Isnin.

Menurutnya, pada masa yang sama Ketua Audit Negara juga disaran melaksanakan proses audit bagi sektor terpilih untuk memastikan pelaksanaan AP dan IP mencapai sasaran dan memenuhi matlamat yang telah ditetapkan.

Selain itu, Perbadanan Produktiviti Malaysia diarahkan untuk melaksanakan kajian dan penilaian terhadap tatakelola dan pengimportan barangan halal manakala Suruhanjaya Persaingan Malaysia diminta mengkaji isu berkaitan kewujudan kartel dalam isu pengimportan barangan berasaskan makanan.

Berhubung pelaksanaan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang diluncurkan pada 2 Jan lepas, Anwar berkata mesyuarat membentangkan kemajuan semasa dan memberi pandangan terhadap langkah yang perlu diambil oleh agensi berkaitan, terutamanya berkaitan keselamatan data dan kaedah untuk meningkatkan jumlah pendaftaran.

Beliau berkata mesyuarat itu juga menilai kemajuan pelaksanaan ke atas keputusan yang telah dibuat MTEN pada tahun lepas.

Sementara itu, bagi memperkukuh keberkesanan perbincangan dan keputusan, beliau bersetuju untuk menambah ahli tetap MTEN iaitu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

-- BERNAMA