JAKARTA: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menggesa reformasi Majlis Keselamatan PBB ketika mengadakan lawatan ke Indonesia, sambil memberi amaran bahawa tindakan sesetengah anggota tetap majlis itu yang melancarkan peperangan dan mengabaikan undang-undang antarabangsa menjejaskan keamanan serta keselamatan dunia, lapor Xinhua.
Berucap pada program “Foreign Policy Circle Talks” di Kementerian Luar Indonesia di Jakarta pada Isnin, Guterres mempersoalkan sama ada keanggotaan Majlis Keselamatan PBB ketika ini masih mencerminkan realiti geopolitik semasa.
"Malangnya, hari ini kita menyaksikan anggota tetap Majlis Keselamatan PBB melancarkan peperangan tanpa mengendahkan undang-undang antarabangsa," kata beliau.
Guterres berkata, struktur sedia ada majlis itu tidak lagi mencerminkan perwakilan dunia secara menyeluruh, sekali gus mengehadkan keupayaan PBB untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.
"Multilateralisme bukan satu pilihan, sebaliknya satu keperluan," kata Menteri Luar Indonesia, Arrmanatha Nasir sambil menegaskan bahawa tiada negara, tidak kira sebesar mana kekuatannya, mampu menangani cabaran global masa kini secara bersendirian.
Guterres tiba di Indonesia pada 17 Okt untuk lawatan rasmi selama tiga hari, yang turut menyaksikan beliau mengadakan pertemuan dengan Presiden Prabowo Subianto serta beberapa pegawai kanan kerajaan.
Lawatan itu menyerlahkan usaha Indonesia untuk memperkukuh kerjasama pelbagai hala dan menggalakkan reformasi bagi memastikan institusi global lebih mewakili kepentingan masyarakat antarabangsa serta mampu bertindak balas terhadap cabaran semasa.
-- BERNAMA-XINHUA