PUTRAJAYA: Kerajaan dijangka membuat keputusan pada minggu depan mengenai mekanisme subsidi bersasar termasuk kaedah dan jumlah bantuan yang akan disalurkan kepada individu yang layak.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dalam sidang media di Putrajaya memaklumkan, Kertas Memorandum Jemaah Menteri untuk mendapatkan kelulusan telah dihantar hari ini dan akan dibincangkan pada Rabu depan.

Sehubungan itu, beliau berkata individu yang belum mengemas kini maklumat masing-masing di Pangkalan Data Utama (PADU), disaran agar berbuat demikian bagi mengelakkan kesulitan.

"Selepas keputusan dibuat mengenai kaedah, dan bila saya kata kaedah ia termasuk kumpulan mana, berapa, siapa yang akan dapat dan sebagainya. Itu membolehkan kerajaan membuat pengumuman bentuk-bentuk bantuan subsidi bersasar selepas minggu depan," katanya dalam sidang media pascapendaftaran PADU di sini pada Jumaat.

Rafizi berkata, selepas Jemaah Menteri memutuskan kaedah tersebut, ia terpulang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bila masa yang sesuai untuk membuat mengumumkan perkara berkenaan. 

"Saya ingat berbaloi (bentuk bantuan dan kaedah bantuan bersasar) kepada rakyat dan kita cuba sebaik mungkin untuk pastikan supaya penyasaran semula subsidi betul-betul bersasar dan berbaloi kepada kumpulan yang layak menerima.

"Jadi itu kena tanya Perdana Menteri nanti saya tak boleh sebut selagi ia tidak lulus dan diputuskan oleh Jemaah Menteri minggu depan," tambah beliau.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Pandan itu berkata setakat jam 4 petang hari ini, seramai 1,291,459 individu berumur 18 tahun ke atas telah mendaftar dalam sistem PADU.