Skip to main content

Malaysia

Kerajaan disaran kaji semula dasar pengangkutan awam, perluas lorong khas bas

41447236623_RapidKL.jpg
Kajian semula dasar pengangkutan awam itu penting bagi mengurangkan kesesakan jalan raya selain membantu rakyat menjimatkan perbelanjaan harian termasuk kos parkir dan bahan api. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran mengkaji semula dasar pengangkutan awam termasuk memperluas laluan khas bas dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan bagi menggalakkan lebih ramai rakyat beralih kepada pengangkutan awam.

Ketua Pegawai Eksekutif Mara Liner Sdn Bhd Wan Md Hazlin Agyl berkata langkah itu penting bagi mengurangkan kesesakan jalan raya selain membantu rakyat menjimatkan perbelanjaan harian termasuk kos parkir dan bahan api.

Beliau berkata meskipun kerajaan menyediakan subsidi minyak kepada operator bas awam dan menyediakan perkhidmatan bas percuma seperti Bas Smart Selangor dan Bas GoKL, penggunaan pengangkutan awam belum dapat dioptimumkan.

“Kerajaan beri subsidi minyak kepada operator bas awam dan menyediakan bas percuma seperti Bas Smart Selangor, Bas GoKL dan sebagainya, namun rakyat masih tidak mahu menaiki bas kerana isu ketersediaan perkhidmatan bas.

“Selain itu, tempoh perjalanan yang panjang seperti perjalanan yang sepatutnya mengambil 20 minit  boleh memakan masa sehingga sejam setengah kerana kesesakan jalan raya dan bas perlu membuat banyak perhentian,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjadi ahli panel program Rundingan Meja Bulat Nasional (Rimbun 2.0) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan penyediaan lorong khas bas bagi melancarkan pergerakan pengangkutan awam, memendekkan waktu perjalanan dan mengurangkan jumlah kenderaan persendirian di jalan raya, khususnya di bandar utama.

Dalam masa sama, Wan Md Hazlin mencadangkan pendekatan bekerja dari rumah (BDR) diperkukuh sebagai langkah sokongan untuk menjimatkan penggunaan bahan api negara.

-- BERNAMA

Must Watch Video