KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memberi fokus kepada projek berkaitan portfolio Persekitaran, Sosial dan Tabdir Urus (ESG) dalam jangka masa lima tahun akan datang.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, penekanan kepada projek berkaitan ESG ini dilihat sebagai lesen baharu kepada pengoperasian semula perniagaan.

"Malaysia akan terus menyasarkan pelaburan berorentasikan teknologi yang berkualiti tinggi dan kemampamnan jangka panjang yang bersesuaian dengan ESG sebagai pelaburan baharu dalam mendorong pertumbuhan teknologi canggih," katanya ketika berucap pada Invest Malaysia 2021 pada Khamis.

Menurut Mohamed Azmin, perkara itu juga diperincikan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri baru-baru ini.

Beliau menambah, ESG akan membantu memetakan perniagaan selari berdepan dengan cabaran serta mencari peluang baharu dalam perubahan iklim ekonomi semasa.

Melangkah ke hadapan, beliau memberitahu, kerajaan juga akan terus mengukuhkan ekonomi negara melalui pelaksanaan dasar perdagangan yang lebih terbuka, telus dan pelaburan yang lebih mesra.

Katanya, ia termasuk meratifikasikan perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprohensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP)

Perjanjian-perjanjian itu, katanya sebagai menunjukkan komitmen kerajaan dalam menggabungkan ekonomi digital yang komprehensif dalam perdagangan antarabangsa.