KUALA LUMPUR : Tindakan kerajaan menarik semula subsidi bukanlah seperti apa yang disangka, kata Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri, Shahril Hamdan.

Beliau berkata, sebaliknya kerajaan hanya mengalihkan subsidi.

“Dalam hal ayam, kerajaan mengalih belanja subsidi daripada penternak kepada pengguna melalui tambahan BKM (Bantuan Keluarga Malaysia) sebanyak RM100 kepada keluarga dan RM50 kepada bujang yang akan dimanfaat oleh 8.6 juta penerima,” katanya menerusi perkongsian di laman Facebook pada Rabu.

Mengulas lanjut, katanya meskipun kerajaan memperuntukkan subsidi sebanyak RM720 juta namun hanya sebahagian daripada jumlah itu yang disalurkan kepada penternak.

Setakat 15 Jun, hanya RM260 juta dipohon dan daripada jumlah itu RM168 juta telah dibayar kepada penternak.

Perkara itu katanya didorong oleh beberapa faktor antaranya penternak tidak memiliki lesen serta tidak membuat klarifikasi pengeluaran sebenar.

Melihat kepada situasi itu, Shahril berpendapat kerajaan telah mengeluarkan belanja yang lebih kepada rakyat iaitu sebanyak RM638 juta yang disalurkan menerusi BKM.

Mengenai subsidi minyak masak, katanya kerajaan juga sebelum ini telah melanjutkan pemberian subsidi sehingga Jun 2022 dari tarikh asal ia sepatutnya berakhir iaitu Oktober 2021.

“Untuk menjamin bekalan minyak botol bagi jangka masa panjang kerajaan memutuskan penghapusan subsidi minyak botol 2kg dan 5kg.

“Kerajaan masih meneruskan subsidi bagi minyak masak peket 1kg yang kekal pada harga RM2.50. Kerajaan akan tanggung kos subsidi sebanyak RM6.50 bagi setiap kilogram,” katanya lagi.

Kerajaan pada Rabu mengumumkan tambahan BKM sebanyak RM100 bagi kategori isi rumah dan RM50 bagi golongan bujang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu sidang media khas menyatakan, pertambahan bantuan itu melibatkan peruntukan RM630 juta.