Kerajaan telah mewujudkan satu jawatankuasa kerja pakar bagi mengkaji kemungkinan larangan secara menyeluruh terhadap penggunaan rokok elektronik dan vape.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, jawatankuasa itu dipengerusikan timbalannya Dr Lee Boon Chye.

Menurut Dr Dzulkefly, jawatankuasa itu diwujudkan susulan peningkatan kes kematian pengguna vape dan rokok elektronik, iaitu seramai 28 orang di Amerika Syarikat (AS) dan seorang di United Kingdom (UK).

“Menyedari ada kajian terkini yang tunjukkan kesan sampingan, termasuk kematian yang berlaku di AS dan UK, satu kajian terperinci dibuat untuk kaji semula larangan penjualan vape secara menyeluruh.

“Satu jawatankuasa kerja pakar diwujudkan di bawah Kementerian Kesihatan, dipengerusi timbalan saya.

"Ia telah ditubuhkan dan akan dibawa segala dapatan kepada saya,” katanya menjawab soalan Ahmad Marzuk Shaary (Pas-Pengkalan Chepa) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Pada Julai lalu, Dr Dzulkefly berkata, kementeriannya akan menggubal satu akta baharu bagi mengawal selia penggunaan tembakau, vape, rokok elektronik dan shisha.

Akta yang dinamakan Akta Tembakau itu dijangka dapat menangani pemasalahan itu secara keseluruhan.

Sebelum ini, banyak pihak, termasuk Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas dan bersepadu bagi mengatasi isu penularan gejala menghisap vape dan rokok elektronik di kalangan pelajar.