Kerajaan akan mengkaji kompaun denda bagi kesalahan ingkar arahan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dinaikkan dari kadar semasa RM1,000 kepada RM10,000.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pindaan Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) itu perlu diperhalusi memandangkan turut melibatkan Akta Interpretasi.

Menurut beliau, banyak pihak yang mencadangkan agar kerajaan menaikkan kompaun kepada individu yang ingkar arahan PKPP.

“Ramai yang berpandangan untuk naikkan kadar dari RM1,000 ke RM10,000. Bagaimanapun, pindaan akta ini melibatkan Akta 342 bahawa kerajaan tiada pilihan kerana denda maksimum yang dibenarkan adalah RM1,000 sahaja.

“Sekarang ini (kerajaan) sedang membuat kajian kerana turut melibatkan akta lain,” katanya dalam sidang media harian perkembangan PKPP, di sini pada Selasa.

Ismail Sabri berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan memaklumkan pindaan tersebut perlu dilakukan selari dengan Akta Interpretasi.

“Kita dimaklumkan oleh Menteri Undang-undang bahawa sekiranya mahu meminda untuk meningkatkan hukuman , maka Akta Interpreatasi juga perlu dipinda.

“Kita telah menyerahkan kepada menteri undang-undang untuk melihat dan meneliti perkara ini serta berbincang dengan pihak Kementerian Kesihatan.

“Kalau perlu pinda kita pinda tetapi perlu diluluskan di Parlimen kerana melibatkan akta," ujar beliau lagi.

Baru-baru ini Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah mencadangkan kepada kerajaan untuk meningkatkan kadar kompaun dari RM1,000 ke RM10,000 ekoran penambahan jumlah individu yang mengingkari arahan PKPP.