Skip to main content

Malaysia

Kerajaan kekalkan harga subsidi di sebalik ketidaktentuan minyak global

51743048282_YellowNozzle.jpg
Harga subsidi RON95 di bawah Program BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter bagi tempoh 9 hingga 15 April ini, manakala harga runcit tanpa subsidi meningkat 40 sen kepada RM4.27 seliter. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengekalkan harga bersubsidi bagi rakyat dan sektor tertentu walaupun berlaku ketidaktentuan pasaran minyak global, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Dalam kenyataan hari ini, MOF memaklumkan harga subsidi RON95 di bawah Program Budi MADANI (BUDI95) kekal pada RM1.99 seliter bagi tempoh 9 hingga 15 April ini, manakala harga runcit tanpa subsidi meningkat 40 sen kepada RM4.27 seliter.

Advertisement

“Bagi diesel, harga runcit bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter, manakala harga tanpa subsidi di Semenanjung meningkat 70 sen kepada RM6.72 seliter,” menurut kenyataan itu.

Bermula 1 April ini, had kelayakan BUDI95 diselaraskan sementara kepada 200 liter sebulan, selain had pengisian diesel dilaksanakan bagi mengekang ketirisan dan penyeludupan di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Sementara itu, harga seliter bagi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) masing-masing dikekalkan pada RM2.05 dan RM2.15.

Selain itu, kerajaan juga mengekalkan bantuan tunai tambahan BUDI Diesel sebanyak RM100 untuk April, menjadikan jumlah keseluruhan RM300 bagi penerima BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi.

MOF menjelaskan penurunan harga minyak mentah global hari ini berikutan pengumuman gencatan senjata tidak serta-merta menurunkan harga runcit bahan api di Malaysia kerana harga pam ditentukan berdasarkan purata harga minggu sebelumnya.

“Harga semasa masih mencerminkan kos bekalan tinggi sepanjang lima minggu lalu ketika pasaran global berada pada paras lebih tinggi, yang mencecah sekitar USD150 setong bagi produk petrol dan USD250 setong bagi produk diesel, dan ini terus mempengaruhi harga runcit dalam negara,” menurut kenyataan itu.

Kerajaan menegaskan akan terus memantau perkembangan global bagi memastikan bekalan tenaga negara stabil, sambil terus melindungi rakyat melalui mekanisme sokongan bersasar.

“Kerajaan MADANI akan terus mengimbangi keperluan fiskal dengan perlindungan rakyat secara teliti dan berhemah bagi memastikan kesejahteraan ekonomi negara serta kelangsungan hidup rakyat terus terpelihara,” menurut kenyataan itu

-- BERNAMA

Must Watch Video