Skip to main content

Malaysia

Kerajaan lancar dua pelan strategik perkukuh usaha pembinaan negara bangsa

KUALA LUMPUR, 15 Julai -- Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang (tengah) bergambar bersama tetamu pada Majlis Pelancaran Pelan Strategik dan Pelan Strategik Pendigitalan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) 2026-2030 sempena Perhimpunan Bulanan KPN di Muzium Negara hari ini.  Turut hadir Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj (dua, kiri) dan Ketua Setiausaha KPN, Datuk Haslina Abdul Hamid (dua, kanan).  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Aaron (tengah) bergambar bersama tetamu pada Majlis Pelancaran Pelan Strategik dan Pelan Strategik Pendigitalan KPN 2026-2030 sempena Perhimpunan Bulanan KPN di Muzium Negara hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) hari ini melancarkan dua pelan strategik sebagai dokumen rujukan utama dalam menetapkan hala tuju kementerian bagi tempoh lima tahun akan datang dalam usaha membina negara bangsa. 

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata pelan pertama, iaitu Pelan Strategik KPN 2026-2030 adalah untuk memperkasakan nilai kebangsaan, memperkukuh tapak integrasi sosial serta melestarikan khazanah warisan sebagai tunjang pembinaan negara bangsa.

Pelan kedua, iaitu Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) KPN 2026-2030 pula merupakan dokumen perancangan yang dibangunkan untuk menyokong agenda transformasi digital.

“Pelan Strategik KPN 2026-2030 keseluruhannya merangkumi lima teras, 12 strategi dan 33 inisiatif yang akan dilaksanakan secara berfasa sepanjang tempoh 2026 hingga 2030. 

“Ia disusun selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, dan mandat kementerian di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), iaitu mengenai pembinaan negara bangsa sebagai asas kepada pembentukan perpaduan negara yang mampan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KPN dan pelancaran pelan itu, di sini.

Aaron berkata sebagai pembaharuan, Pelan Strategik KPN 2026-2030 turut memperkenalkan pendekatan Rubrik Penilaian Impak Polisi (PIP), yang menjadi instrumen utama untuk memantau pelaksanaan pelan operasi serta mengukur tahap pencapaian setiap teras, strategi dan inisiatif secara lebih berkesan.

“Ini sekali gus memastikan setiap tindakan yang dilaksanakan memberikan impak yang jelas kepada agenda pembinaan negara bangsa dan perpaduan nasional,” kata beliau.

Beliau berkata PSP KPN 2026-2030 merangkumi tiga fokus utama yang menggariskan pelbagai program, projek dan inisiatif pendigitalan selaras dengan keperluan organisasi dan perkembangan teknologi semasa.

Aaron turut menyarankan Jabatan Muzium Malaysia (JMM) supaya memanfaatkan sepenuhnya Geran Padanan Muzium (GPM) 2026 bernilai RM5 juta bagi mempercepat usaha pemodenan dan pendigitalan sektor permuziuman negara, termasuk melalui penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata geran yang disediakan Kerajaan MADANI itu bertujuan menyokong projek pembangunan dan penaiktarafan muzium, melalui kerjasama strategik lebih meluas antara institusi permuziuman dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sektor swasta dan komuniti korporat.

"Di negara-negara maju seperti United Kingdom, model kerjasama korporat dengan muzium telah lama diamalkan, termasuk penubuhan ruang pembelajaran digital seperti Samsung Digital Discovery Centre hasil kerjasama antara Samsung dan The British Museum.

“Model seperti ini wajar diterokai di Malaysia supaya lebih banyak syarikat tampil sebagai rakan strategik dalam memelihara dan memartabatkan warisan negara untuk generasi akan datang,” katanya.

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement