PUTRAJAYA: Kerajaan melancarkan Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan yang menggariskan objektif, strategi dan inisiatif terancang ke arah memperkasa penglibatan wanita dalam pelbagai bidang sukan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelan tindakan tersebut bertujuan menjadikan pembangunan sukan lebih inklusif dan seimbang dan ia selaras dengan Dasar Sukan Negara dan Akta Pembangunan Sukan 1997.

Bahkan, ia juga sejajar dengan dasar dan perundangan peringkat antarabangsa seperti Olympic Charter, Olympic Agenda 2020, Kazan Action Plan dan The Convention on the Elimination of all Forms of Discrimination Against Women (CEDAW).

"Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk menjayakan pelaksanaan Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan yang mengandungi lima teras, lapan objektif, 19 strategi dan 45 inisiatif.

"Susulan itu juga, Jawatankuasa Wanita Dalam Sukan telah ditubuhkan bagi merancang dan memantau pelaksanaan pelan tindakan ini. Jawatankuasa ini dianggotai oleh 15 orang pakar rujuk terdiri daripada wakil kementerian, badan sukan, bekas atlet dan individu berpengalaman.

"Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan disasarkan mampu meningkatkan penglibatan keseluruhan wanita dalam aktiviti sukan, kepimpinan dalam badan sukan dan penyertaan dalam kejurulatihan dan kepegawaian sukan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Pelancaran Hari Sukan Negara (HSN) 2021 di Putrajaya pada Sabtu yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

 
Sumber Facebook mysukantv

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, kerajaan turut melancarkan Program Talent Identification and Development (MyTID KPM-KBS) melalui kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Program MyTID KPM-KBS ini dianggarkan melibatkan seramai 500 orang guru tenaga penguji terlatih serta sasaran penyertaan seramai 60,000 orang murid dari sekolah rendah (Tahun 1 - 6) yang melibatkan semua Pejabat Pendidikan Daerah mengikut zon.

"Program ini dijangka membantu memperluaskan penyertaan bakat baharu seawal usia tujuh tahun yang berpotensi di peringkat akar umbi untuk dikenal pasti dengan lebih awal dan mengurangkan risiko keciciran bakat," ujarnya.

Dua pelan tersebut serta Pelan Tindakan Industri Sukan Negara merupakan tiga hala tuju baharu dalam perancangan dan pembangunan sukan melalui Visi Sukan Negara 2030.