Keputusan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad (MAB), Peter Bellew meninggalkan syarikat penerbangan nasional itu dan kembali menyertai syarikat penerbangan tambang rendah, Ryanair adalah mengejutkan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, beliau masih belum menerima sebarang maklumat lanjut berhubung keputusan Bellew itu.

Bagaimanapun, katanya, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) sebagai pemegang saham tunggal dan pemberi dana penyusunan semula MAB bagi mengumumkan langkah yang akan diambil.

"Saya tidak menerima apa-apa maklumat sebelum ini, jadi saya ingin tahu butirannya terlebih dulu. Kami yakin transformasi MAB akan diteruskan, tidak kira siapa yang menjadi ketua pegawai eksekutif atau ketua pegawai operasi.

"Transformasi MAB masih menjadi agenda. MAB dalam keadaan stabil. Ia bergantung kepada Khazanah kerana ia di bawah Khazanah," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Deepavali Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAAICCI), di sini hari ini.

Beliau juga enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu dan menunggu laporan penuh daripada Khazanah.