KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan pembaharuan pajakan tanah selama 99 tahun kepada Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), dengan premium tanah ditetapkan pada kadar nominal RM1,000 berbanding anggaran premium terdahulu sebanyak kira-kira RM4.67 juta.
Menerusi hantaran di Facebook semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata keputusan itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam melindungi mercu tanda bersejarah Kuala Lumpur, serta memastikan institusi yang mempunyai nilai warisan dapat terus berkhidmat untuk generasi akan datang.
Beliau berkata kelulusan itu, susulan komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberikan pertimbangan khas terhadap usaha memelihara bangunan bersejarah berkenaan, selepas mengunjungi dewan berkenaan bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina pada 17 Feb lepas.
Hannah mengumumkan keputusan itu pada majlis makan malam ulang tahun KLSCAH ke-103 malam tadi.
“Ketika Perdana Menteri melawat dewan ini pada Februari, beliau meminta saya mencari penyelesaian. Saya memberikan perhatian serius arahan itu, dan berbesar hati kerana kita berjaya mencapai keputusan yang mengiktiraf kepentingan memelihara institusi bersejarah ini,” menurut hantaran itu.
Hannah berkata Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan kemudian meluluskan penyerahan dan pemberian milik semula tanah itu bagi kegunaan institusi pada 14 Sept, dengan tempoh pajakan hingga 99 tahun.
Menurut surat kelulusan rasmi bertarikh 1 Okt, premium tanah ditetapkan sebanyak RM1,000, manakala jumlah keseluruhan yang perlu dibayar berdasarkan notis tanah rasmi ialah RM5,011, termasuk sewa tanah tahun pertama dan caj pentadbiran, dengan kadar sewa tanah tahunan ditetapkan sebanyak RM3,151.
“Sejak diiktiraf sebagai bangunan warisan kebangsaan pada 2007, KLSCAH memainkan peranan penting dalam sejarah Kuala Lumpur.
“Dengan mengurangkan beban kewangan berkaitan premium tanah, kami berharap KLSCAH dapat menyalurkan lebih banyak sumber untuk menyelenggara dewan itu, memelihara warisannya dan meneruskan khidmat kepada masyarakat,” katanya.
Hannah berkata usaha memelihara warisan perlu mencerminkan kepelbagaian sejarah dan identiti Kuala Lumpur, dan usaha melindungi warisan bandar raya itu perlu merangkumi semua komuniti.
Sehubungan dengan itu, beliau turut mengetengahkan usaha berterusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengkaji pemeliharaan kampung tradisional Melayu di Sungai Penchala, termasuk Kampung Palimbayan dan Kampung Bukit Lanjan.
“ … . Memelihara warisan bersama ini merupakan tanggungjawab yang perlu kita pikul bersama,” katanya.
-- BERNAMA