KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan sejumlah 7,072 permohonan melibatkan nilai pinjaman sebanyak RM1.334 bilion di bawah pembiayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) setakat 5 Mac, 2021, berbanding RM1.315 bilion pada minggu sebelumnya.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peruntukan keseluruhan sebanyak RM2 bilion di bawah program itu mengutamakan PKS yang belum pernah mendapat pinjaman daripada bank sebelum ini.

Setakat 5 Mac, pembiayaan Mikro Kredit PENJANA di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN), sebanyak RM391.9 juta telah disalurkan bagi memanfaatkan 11,708 PKS mikro termasuk dalam bidang peruncitan dan perkhidmatan, katanya semasa membentangkan Laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) ke-45 pada Jumaat.

Tengku Zafrul berkata Bumiputera Relief Financing (BRF) yang diperkenalkan oleh Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dengan dana RM200 juta pula menyaksikan 662 PKS menerima dana sebanyak RM191.1 juta.

Bagi Program Subsidi Upah (PSU) 1.0, beliau berkata, sehingga 26 Februari 2021, iaitu tarikh tutup PSU 1.0, seramai 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja telah menerima manfaat PSU di bawah PRIHATIN dan PENJANA.

"Setakat 5 Mac, permohonan subsidi upah yang diluluskan mencapai nilai RM12.769 bilion.

"Kenaikan tidak berapa banyak berbanding minggu sebelumnya, tetapi kita juga perlu ingat bahawa banyak sektor ekonomi telahpun dibuka semula, namun dengan pematuhan SOP yang ketat dan berdisiplin," ujarnya.

Sementara itu, di bawah Program Subsidi Upah (PSU 2.0) KITA PRIHATIN, Setakat 5 Mac, sejumlah RM808.31 juta telah disalurkan kepada 66,591 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 554,876 pekerja.

Bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan pula, seramai 131,568 pekerja telah berjaya mendapat pekerjaan melalui program ini, tiada perbezaan berbanding minggu sebelumnya.

"Antara industri dan sektor utama yang mengambil pekerja termasuklah pembuatan serta perdagangan borong dan runcit," kata Tengku Zafrul.

Di bawah Belanjawan 2021, katanya, hampir RM1 billion telah diperuntukkan bagi pinjaman mikro kredit yang merangkumi skim di bawah BSN, SME Corp, MARA, TEKUN and YAPEIM.

"Di bawah PEMERKASA, jumlah ini ditambah kepada RM460 juta seperti perincian menjadikan jumlah keseluruhan pinjaman mikro kredit sebanyak RM1.5 billion dengan kadar faedah bagi pinjaman pula akan diturunkan daripada 3.5 peratus ke 3.0 peratus.

"Dana ini akan dikhususkan atau "carved out" bagi golongan wanita sebanyak RM50 juta, golongan orang kurang upaya OKU RM25 juta dan penjaja kecil RM50 juta," katanya.

Sementara itu, bagi Skim Pembiayaan Mudah Jaya Penjana Institut Pengajian Tinggi Swasta (SPiM Penjana IPTS) oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA), setakat 5 Mac, sebanyak 22 permohonan bernilai RM118.3 juta telah diluluskan dan daripada jumlah itu, RM10.6 juta telah disalurkan kepada 12 IPTS Bumiputera.

-- BERNAMA