JERLUN: Kerajaan meluluskan peruntukan RM45.6 juta bagi pembangunan kilang padi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sebagai inisiatif membantu memperkukuh sektor padi dan beras negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kilang yang akan dibina di Megat Dewa dekat sini, menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan rantaian pengeluaran yang lebih tersusun dan berdaya saing.
Advertisement
“Kilang baharu itu dapat memastikan proses pengumpulan, pemprosesan dan penghasilan beras dilaksanakan secara cekap, meningkatkan nilai tambah hasil padi serta memberi manfaat lebih besar kepada peladang, khususnya mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) dan Perjumpaan Bersama Pemimpin Peladang di Kawasan MADA di sini malam tadi.
Turut hadir Pengerusi MADA Datuk Dr Ismail Salleh serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.
Dalam pada itu, Mohamad berkata bagi 2026, MADA menyasarkan purata hasil padi sebanyak 6.1 tan sehektar melalui pemodenan pengurusan sawah, penambahbaikan infrastruktur pengairan dan saliran serta pengoptimuman penggunaan input pertanian.
“Seiring dengan itu, kementerian kini sangat menekankan usaha meningkatkan Kadar Sara Diri (SSR) beras daripada 52.6 peratus bagi Malaysia dan 58.3 peratus (Semenanjung) kepada 70 peratus menjelang 2030 sebagai langkah strategik memperkukuh keterjaminan makanan negara.
“Kementerian juga akan melaksanakan pendekatan 3M, iaitu membina, menaik taraf dan menyelenggara melalui Pelan Induk Pengukuhan Infrastruktur Pertanian 2026-2040 yang akan menumpukan perhatian khusus kepada subsektor padi bagi menangani isu infrastruktur uzur selain memperkukuh sistem sokongan pengeluaran,” katanya.
Beliau berkata bagi tahun ini, kementerian akan menumpukan kepada penyelenggaraan sistem pengairan dan saliran di 14 kawasan jelapang serta 13 kawasan luar jelapang dengan sasaran 2,000 kilometer (km) tali air, selain penaiktarafan 1,346 km jalan pertanian bagi memastikan kelancaran pengeluaran dan logistik sektor pertanian.
“Keseluruhan hala tuju tahun ini tertumpu kepada usaha memastikan sektor pertanian dan agromakanan negara kekal berdaulat, berdaya tahan dan mampu menghadapi ketidaktentuan masa hadapan,” katanya.
-- BERNAMA