PELABUHAN KLANG: Semua kerajaan negeri diseru untuk melaksanakan pindaan terhadap enakmen berkaitan hutan negeri masing-masing dengan memasukkan kaedah penyiasatan awam sebelum melakukan sebarang penyahwartaan terhadap mana-mana kawasan hutan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata hal ini kerana hutan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan mempunyai undang-undang perhutanan sendiri.

Beliau berkata setakat ini, hanya Selangor dan Perlis yang telah memasukkan kaedah penyiasatan awam berkenaan ke dalam enakmen berkaitan hutan negeri masing-masing.

"Kita telah mengingatkan kerajaan negeri yang lain untuk membuat pindaan sama kepada enakmen yang relevan di negeri masing-masing sebab kita tahu hutan ialah urusan negeri.

"Kalau ada kawasan hutan yang dinyahwarta, kerajaan negeri perlu ganti hutan berkenaan dengan kawasan hutan baharu ... kita harap mereka dapat ikut perkara itu," katanya kepada pemberita selepas program Rakan Bumi Initiative For Mangrove Planting Programme 2024 di Mangrove Point di sini hari ini.

Nik Nazmi berkata setakat 2020, negara mempunyai kira-kira 18.05 juta hektar keluasan hutan dengan usaha-usaha penanaman pokok khususnya menerusi Program Penanaman 100 juta Pokok giat dilaksanakan kementerian dengan sokongan pelbagai pihak.

Beliau berkata setakat bulan ini, program terbabit berjaya menanam 86.5 juta pokok di seluruh negara melibatkan 1,823 spesies pokok dan kementerian menyasarkan untuk mencapai sasaran 100 juta menjelang hujung tahun hadapan.

Nik Nazmi berkata kementerian juga telah menanam hampir 8,000 pokok bakau membabitkan kira-kira 3,500 hektar kawasan persisiran pantai di seluruh negara.

Dalam pada itu, Nik Nazmi ketika mengulas sama ada perubahan iklim menjadi antara punca insiden pokok besar tumbang baru-baru ini, berkata kementeriannya sedang meneliti perkara itu kerana ia merupakan isu yang serius dan puncanya perlu dilihat secara holistik.

"Saya faham isu ini. Terdapat banyak pokok di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mereka mempunyai garis panduan sendiri. Lazimnya, PBT bekerjasama dengan arboris, pakar pokok.

"Tetapi, kita perlu lihat secara keseluruhan dan dapatkan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia untuk terlibat bagi memberi maklum balas. Maksud saya, kemungkinan perubahan corak cuaca, kami akan melihatnya secara holistik," katanya.

Sepanjang minggu ini, beberapa insiden pokok besar tumbang dilaporkan berlaku di George Town, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur yang menyebabkan seorang individu maut.

Mengulas mengenai perkembangan isu pengeluaran unsur nadir bumi (REE) oksida secara haram di kawasan hutan simpan di daerah Lipis di Pahang sebelum ini, Nik Nazmi berkata kementerian sentiasa berkomunikasi dengan kerajaan negeri berhubung isu berkenaan.

"Bukan sahaja berkomunikasi dengan kerajaan Pahang, tetapi dengan semua kerajaan negeri dan garis panduan berhubung perlombongan REE untuk dibuat secara betul, kemudian kita susuli dengan perbincangan melibatkan Kementerian Ekonomi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)," katanya.

Kerajaan Pahang sebelum ini menafikan sekeras-kerasnya berlaku pengeluaran nadir bumi oksida secara haram di kawasan hutan simpan di daerah Lipis meskipun terdapat cubaan untuk melakukan aktiviti melombong bahan terbabit.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dilaporkan berkata kenyataan yang dikeluarkan oleh Nik Nazmi ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Ipoh Timur Lee Chuan How di Parlimen pada 12 Mac lepas kurang tepat kerana tiada sebarang aktiviti pengeluaran nadir bumi di daerah itu.

-- BERNAMA