BEAUFORT: Kerajaan negeri komited melaksanakan segala perancangan dalam Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya yang dilancarkan pada 2021 bagi menjaga kebajikan dan meningkatkan ekonomi rakyat serta negeri berkenaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata pelbagai program telah dilaksanakan melalui pelan itu namun mengakui masih terdapat perkara yang dalam tindakan kerajaan negeri.

"Kita akui banyak yang masih perlu dilakukan untuk rakyat, sama ada (isu) air, elektrik dan lain-lain lagi tetapi kita komited untuk menyelesaikan semua isu ini. Kita ada perancangan... tidak lama lagi, kita dapat selesaikan semuanya.

"Kita ada peruntukan untuk menyelesaikan masalah loji atau paip air yang diwarisi daripada kerajaan dahulu. Kita mahu bersatu hati bangunkan Sabah, kita ketinggalan sebab kita banyak bergaduh, hari-hari berpolitik, jadi lambatlah kita membangun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama Ketua Menteri anjuran Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di Masjid Daerah Beaufort semalam.

Presiden Gagasan Rakyat itu berkata, pembangkang takut melihat apa yang telah dicapai oleh kerajaan negeri justeru bertindak menyerang pelan tersebut bagi meraih sokongan politik daripada rakyat.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri Sabah memperkenal pelan pembangunan Sabah Maju Jaya bersempena slogan pada jata negeri itu bagi mengajak rakyat untuk bersama-sama membangunkan negeri.

"Slogan ini (Sabah Maju Jaya) baik iaitu ia mahu mengajak rakyat kita untuk maju dan sama-sama memajukan negeri kita tetapi mereka (pembangkang) tidak mahu ada slogan ini, mereka hanya mahu cerita politik siang dan malam," katanya.

Hajiji juga berkata meskipun berdepan cabaran yang tidak putus-putus termasuk didakwa sebagai gagal, kerajaan pimpinan beliau tetap fokus terhadap kebajikan dan usaha meningkatkan ekonomi rakyat serta negeri.

-- BERNAMA