KOTA KINABALU: Kerjasama antara Kerajaan Negeri Sabah dan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) melancarkan Pelan Induk Gas Sabah bagi memacu pelaburan dalam sumber gas asli negeri  itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia menandakan satu lagi peristiwa penting bagi Sabah selepas menandatangani Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) pada 7 Disember lepas.

Katanya, pelan induk ini memfokuskan kepada tiga peluang pelaburan utama yang berlainan ciri untuk sumber gas asli Sabah.

"Yang pertama ialah pembinaan loji gas asli cecair (LNG) dengan kapasiti 2.0 juta tan setahun (MTPA) di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

"Kemudahan LNG, yang pertama di negeri ini juga akan memberi peluang kepada Sabah mengembangkan pengedaran LNG di seluruh negeri melalui aktivitiseperti sistem saluran paip maya.

"Membolehkan lebih banyak perniagaan perindustrian dan komersial mengakses serta menggunakan gas asli sebagai sumber tenaga yang lebih bersih," katanya ketika berucap di pelancaran Pelan Induk Gas Sabah di Menara PETRONAS 2, pada Selasa.

Hajiji berkata, yang kedua, Kerajaan Negeri Sabah mengambil peranan yang lebih menonjol dalam menerajui aktiviti pemasaran dan pengedaran gas di Sabah, dengan 120 kaki padu gas standard sehari (MMscfd) bekalan gas akan disediakan bagi pembangunan industri utama di negeri ini.

Jelasnya, gas asli itu akan dibekalkan dari Terminal Minyak dan Gas Sabah di Kimanis, dan Terminal Gas Sabah di Tuaran.

"Sebagai tanda kemajuan hasrat itu, pemeteraian perjanjian induk (HOA) telah ditandatangani antara Sabah Energy Corporation Sdn Bhd dan PETRONAS untuk pembekalan 70 MMscfd gas asli, serta pertukaran dokumen HOA yang ditandatangani sebelum ini untuk 50 MMscfd bekalan gas asli, bagi kegunaan di Sabah yang disaksikan oleh Ketua Menteri.

"Ketiga, ia menekankan satu set derivatif pilihan petrokimia untuk Sabah bagi menarik pelabur, yang berdasarkan keperluan pasaran dan prospek masa depan, iaitu memanfaatkan bahan mentah yang sedia ada di dalam negara," katanya.

Tambahnya, beberapa cadangan juga telah disyorkan, merangkumi lebih banyak aktiviti cari gali gas asli bagi memastikan bekalan mampan, pelan pembangunan komprehensif untuk Sabah mesti dirangka bagi mewujudkan lebih banyak industri tambah nilai di Sabah termasuk pembangunan hiliran petrokimia.

Cadangan lain adalah mengenai keperluan untuk menilai bakat tempatan yang sedia ada dan dipertingkatkan bagi memenuhi keperluan industri minyak dan gas, serta industri pembuatan dan pembinaan.

"SOGIP mesti dijadikan tapak pelaburan minyak dan gas hiliran utama Sabah pada masa hadapan, tetapi masih banyak kerja perlu dilakukan untuk menjadikannya lebih menarik kepada pelabur.

“Sebuah entiti negeri perlu dikenal pasti untuk memantau pelaksanaan cadangan Pelan Induk Gas Sabah,” katanya lagi.

Hasil daripada penyelidikan bersama yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri dan PETRONAS terhadap industri minyak dan gas bagi mendapatkan pulangan ekonomi jangka panjang untuk Sabah dan rakyatnya, Pelan Induk Gas Sabah telah diperakui oleh Kabinet Negeri pada Oktober tahun lalu.