KUALA LUMPUR: Pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan tidak akan mengambil sebarang tindakan pewartaan atau apa-apa tindakan pelaksanaan terhadap Proklamasi bertarikh 19 April lalu susulan kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) bahawa proklamasi berkenaan tidak sah.
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dalam satu kenyataan hari ini berkata, perkara itu diputuskan selepas pihaknya merujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri bagi memastikan sebarang tindakan yang diambil mematuhi undang-undang semasa serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959).
“Dari segi perundangan juga, pentadbiran ini akur dengan pandangan Jabatan Peguam Negara bahawa ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Negeri Sembilan tidak mempunyai bidang kuasa, autoriti mahupun kuasa di bawah UUTKNS 1959 untuk membuat pengumuman berkenaan Proklamasi tersebut.
“Selain daripada itu, tiada asas di sisi undang-undang bagi ahli MMKN untuk bersandar kepada Proklamasi bertarikh 19 April 2026 bagi pengumuman mereka,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa pentadbiran negeri menerima nasihat berkenaan dan tidak akan mengeluarkan pewartaan atau mengambil apa-apa tindakan pelaksanaan terhadap Proklamasi tersebut.
“Tindakan sedemikian akan menjadi suatu tindakan yang tidak sah serta tidak berperlembagaan,” tambah kenyataan.
Terdahulu, AGC dalam kenyataannya memaklumkan Proklamasi mengenai kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertarikh 19 April lalu adalah tidak sah, kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959).
AGC memaklumkan tiada sebarang keterangan bahawa mana-mana faktor hilang kelayakan yang dinyatakan dalam Perkara 10(1) UUTKNS, terpakai kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Malaysia
Kerajaan Negeri Sembilan tidak akan wartakan Proklamasi 19 April
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dalam satu kenyataan hari ini berkata, perkara itu diputuskan selepas pihaknya merujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri bagi memastikan sebarang tindakan yang diambil mematuhi undang-undang semasa serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959).