KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia menilai keperluan layanan khas iaitu levi pelepasan kepada pelajar yang menuntut di luar negara, kata Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Mohd Shahar Abdullah.

Ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Levi Pelepasan (Pindaan) 2022, beliau berkata pada masa ini kerajaan masih mengenakan cukai levi kepada pelajar yang menuntut di luar negara.

"Cuma berkaitan pelajar untuk keluar negara, masih dikenakan cukai levi, namun sekiranya perlu, kerajaan akan bersedia untuk menilai juga keperluan layanan khas diberikan kepada pelajar-pelajar ini," katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Katanya, kerajaan memberikan layanan khas kepada mereka yang ke luar Malaysia bagi menunaikan umrah dan haji termasuk mereka yang bukan Islam yang ingin meninggalkan negara untuk tujuan agama.

"Kami beri layanan khas iaitu semasa mereka membayar cukai pendapatan, mereka boleh rebat jumlah tersebut. Maknanya bagi pembayar cukai, mereka boleh mengemukakan butiran resit dan kami akan bagi secara rebat levi pelepasan ini sebanyak dua kali seumur hidup," katanya.

Menyentuh mengenai kutipan levi pelepasan, Mohd Shahar berkata hanya RM202 juta dikutip dari 1 Sept 2019 hingga Julai 2022, bagaimanapun semasa memperkenalkan RUU tersebut, kerajaan sasar RM800 juta kutipan.

"Penurunan yang amat ketara ini disebabkan apabila kita tiada pelepasan sempadan antarabangsa dan banyak industri penerbangan tidak dapat beroperasi ketika pandemik COVID-19," katanya.

RUU Levi Pelepasan (Pindaan) 2022 kemudian diluluskan Dewan Negara.

RUU berkenaan dilaksanakan bagi meminda Akta Levi Pelepasan 2019 (Akta 813) iaitu dengan memasukkan peruntukan baharu bertujuan menambah baik pentadbiran levi pelepasan melalui peruntukan yang membolehkan fasilitasi tertentu diberikan kepada pembayar cukai khususnya semasa berlaku kecemasan awam seperti bencana alam atau krisis kesihatan awam seperti pandemik.

-- BERNAMA