KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang umum akan menaikkan kadar bantuan segera kepada mangsa banjir pada tahun ini dari RM1,000 kepada RM3,000.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri juga bersetuju menaikkan bantuan baik pulih rumah rosak akibat banjir daripada RM2,500 kepada RM5,000 selain kenaikan bantuan pemulihan perniagaan kecil daripada RM3,000 kepada RM5,000.

“Kita telah bersetuju untuk menaikkan bantuan segera.

"Sebelum ini RM1,000 sahaja tetapi hari ini kita telah membuat keputusan menaikkannya kepada RM3,000 bantuan segera. Maknanya apabila berlaku bencana kita dah ada peruntukan.

“Begitu juga dengan bantuan membaiki rumah yang rosak (akibat banjir), kita akan naikkan juga.

"Dulu kita bagi RM2,500 sekarang kita naikkan sehingga RM5,000 untuk rumah-rumah yang rosak.

"Begitu juga bagi mereka yang terjejas akibat banjir bantuan untuk pemulihan perniagaan kecil, sebelum ini RM3,000 sekarang kita naikkan sehingga RM5,000.

"Ini adalah satu usaha yang kita buat, kita tambah baik daripada sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Kumpulan Wang Amanah Jawatankuasa Malapetaka Negeri Pahang (KWAMP) di Wisma Sri Pahang, Kuantan, semalam.

Hadir sama Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, Kerajaan Pahang telah memperuntukkan hampir RM20 juta bagi menambah baik persiapan menghadapi bencana banjir yang melanda negeri ini pada setiap tahun.

Ujarnya, peruntukan tersebut merangkumi persiapan pangkalan hadapan berjumlah RM4.8 juta, Tabung Malapetaka Daerah (RM1 juta), perolehan darurat (RM8.5 juta) dan perolehan bencana (RM3.5 juta).

“Kerajaan juga telah bersetuju menambah baik bekalan makanan awal kepada mangsa-mangsa banjir dengan menyediakan 50,000 makanan ‘ready to eat' dengan jumlah peruntukan RM600,000,” jelasnya.

Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jelai berkata, kerajaan negeri juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM47 juta bagi projek-projek persediaan banjir.

“Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan RM47 juta untuk projek-projek bantuan atau persediaan untuk kita menghadapi banjir ini kerana kita tahu banjir ni kadang-kadang berlaku dua kali setahun jadi kerajaan negeri mengambil keputusan mungkin ada beberapa perkara yang kita ambil tindakan awalan,” katanya.