BANGI: Negara yang hidup bermasyarakat akan tempang sekiranya dipacu kemarahan, sebaliknya mesti dipandu oleh ilmu yang menjadi asas pembinaan negara yang kukuh, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata kekuatan sesuatu perjuangan tidak boleh hanya bergantung kepada semangat dan emosi, sebaliknya perlu didukung oleh kekuatan ilmu yang mampu menyedarkan serta menginsafkan masyarakat.
"Sahabat saya Allahyarham Ustaz Fadzil Noor yang mengingatkan bahawa wadah Islam itu tidak bangkit hanya dengan ledakan semangat, emosi dan sentimen tetapi dengan kekuatan ilmu yang menyedarkan dan menginsafkan.
"... dan sekarang umpamanya dalam bicara soal negara MADANI, mesti diperkasakan dengan ilmu. Inilah yang meletakkan asas pembinaan negara yang utuh," kata beliau ketika berucap pada Majlis Makan Malam Apresiasi 3 Generasi: Menyambung Legasi Perjuangan di sini hari ini.
Turut hadir, isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
Majlis itu menghimpunkan lebih 2,000 ahli Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).
Perdana Menteri berkata dalam konteks pembinaan negara MADANI, perubahan perlu diasaskan kepada keyakinan, idealisme dan cita-cita murni untuk mengangkat martabat bangsa serta negara, bukannya semangat ketuanan, perkauman atau adu domba.
Anwar berkata masyarakat juga perlu mempunyai kefahaman yang kukuh mengenai agama dan iman kerana kelahiran seseorang sebagai Muslim tidak semestinya menjamin kefahaman terhadap Islam.
"Lahir sebagai Muslim, berketurunan Islam belum menjamin kefahaman. Muncullah gerakan Islam, persatuan Islam, pertubuhan Islam, gerakan Islam belum menjamin kebangkitan roh Islam selain daripada semangat dan percaturan kata-kata… sebab itu tanggungjawab besar kita adalah untuk menghidupkan tradisi ilmu," kata beliau.
Anwar berkata pengalaman dalam gerakan Islam turut mengajar beliau bahawa perjuangan perlu dibina berasaskan keyakinan dan kepercayaan untuk bertindak, bukan semata-mata berdasarkan jumlah sokongan, undi atau penerimaan di media sosial.
“Kerana pertimbangan akhirnya ialah untuk memohon dan mendapat restu, keredaan Allah SWT. Mudah-mudahan dengan semangat dan kekuatan dan sokongan saudara-saudara, kita dapat terus membina kekuatan jemaah Islam,” kata beliau.
Perdana Menteri turut menekankan kepentingan tradisi ilmu, usrah dan usaha menghimpunkan pemikiran baharu dalam membentuk kefahaman masyarakat, khususnya dalam negara yang mempunyai kepelbagaian kaum dan agama.
Beliau berkata usaha membina negara juga perlu memberikan perhatian kepada pendidikan dan penguasaan ilmu baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) namun pada masa sama tidak mengabaikan asas seperti iman dan akhlak.
“Kita harus menggapai ilmu baharu, AI, tetapi kalau menggapai di langit kita tinggalkan akar di bumi, kita tentunya melihat ketempangan dalam pembentukan negara bangsa,” kata Anwar.
-- BERNAMA