Kerajaan sedang menyiasat lebih 100 kes pelanggaran prosedur kewangan dan perolehan oleh pelbagai agensi dan kementerian susulan pendedahan yang dibuat dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 baru-baru ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan juga telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk menangani isu-isu yang dibangkitkan dalam laporan itu bagi mengukuhkan keyakinan rakyat kepada sektor awam serta menjaga imej dan kredibiliti sektor itu.

Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

"Penyiasatan dan tindakan tataertib sedang dijalan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Awam ke atas lebih daripada 100 kes ketidakpatuhan kepada prosedur-prosedur kewangan termasuk perolehan," kata Najib semasa membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Tambah Perdana Menteri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia juga sedang menyiasat 15 kes untuk dibawa ke mahkamah.

Sebagai langkah penambahbaikan juga, kerajaan akan menubuhkan Unit Pengurusan Integriti yang dianggotai oleh SPRM di setiap kementerian bagi meningkatkan pematuhan dan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Menurut Najib, semua usaha itu adalah usaha kerajaan untuk melakukan transformasi ke atas perkhidmatan awam di setiap kementerian.

"Langkah ini amat penting bagi mengukuh dan menyusun semula organisasi (perkhidmatan awam) supaya relevan dengan perkembangan semasa," katanya.

Bonus

Sementara itu, sebagai menghargai sumbangan penjawat awam, Najib mengumumkan bonus sebanyak setengah bulan gaji bagi tahun ini dengan bayaran minimum RM500 dan bayaran khas RM250 kepada pesara. Bayaran bonus dan bantuan khas kewangan ini akan dibayar pada awal Januari tahun depan.

Dalam pada itu, Najib memberitahu kerajaan pada Julai lepas telah memberi tambahan satu kenaikan gaji tahunan melibatkan peruntukan sebanyak RM1.6 bilion.

Kerajaan juga telah memberi tambahan tiga kenaikan gaji tahunan kepada gaji maksimum bagi semua kumpulan perkhidmatan yang memberi manfaat kepada 182,434 penjawat awam yang sudah mencecah paras gaji maksimum.

"Kerajaan juga bersetuju menambahbaik sebanyak 81 skim perkhidmatan dari pelbagai peringkat mulai November ini," tambahnya.