KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan sedang memperhalusi aspek perundangan proses pengambilan tanah melibatkan projek pembangunan semula Sungai Baru, Kampung Baru, di sini, yang masih tidak mendapat persetujuan sebahagian penduduk.

Menterinya Datuk Seri Shahidan Kassim berkata ia bagi memastikan pembelaan sewajarnya termasuk kepada 37 pemilik yang tidak bersetuju serta 291 pemilik yang telah berpindah ke rumah transit dan pemaju.

"Saya akan memberi pembelaan kepada tuan tanah yang terlibat sebaik mungkin.

"Saya dah minta (sesi pendengaran kedua) ditangguh lebih enam bulan supaya pemaju dan 37 (pemilik tidak bersetuju) selesaikan masalah dan kalau tak selesai juga mereka akan kembali kepada kita untuk penyelesaian (secara perundangan) ," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci kediaman kepada pemilik unit Residensi SkyAwani 3 di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Shahidan berkata pihak Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) dijangka memberi kenyataan susulan berkenaan perkara itu minggu depan.

Pada Rabu, PKB dalam kenyataan memaklumkan pengambilan tanah bagi projek pembangunan semula kawasan tersebut perlu diteruskan kerana ia telah memenuhi syarat perundangan di bawah Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 walaupun segelintir pemilik tidak bersetuju.

Sebelum in, Shahidan telah meminta proses pendengaran kedua bagi pengambilan tanah kawasan tersebut yang dijadualkan berlangsung Disember tahun lalu ditangguhkan sehingga beliau bertemu dengan semua pihak susulan ada yang tidak bersetuju selain mendakwa nilai pampasan ditawarkan pemaju tidak setimpal.

-- BERNAMA