Skip to main content

Malaysia

Kerajaan perkasa KAFA, program dakwah perkukuh penghayatan Islam komuniti Orang Asli

KUALA LUMPUR, 8 Julai -- Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Marhamah Rosli berucap pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Majlis Parlimen Kelima Belas di Bangunan Parlimen hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Marhamah berkata langkah jangka pendek itu dilaksanakan menerusi penyelarasan program yang dikendalikan oleh penggerak masyarakat Orang Asli (PMOA) dan da’i Orang Asli. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pemerkasaan Kelas Pengajian Fardu Ain (KAFA) harian dan pelbagai program dakwah sempena hari kebesaran Islam dilaksanakan bagi memperkukuh penghayatan ajaran Islam dan pembangunan modal insan dalam kalangan komuniti Orang Asli Muslim di seluruh negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli berkata langkah jangka pendek itu dilaksanakan menerusi penyelarasan program yang dikendalikan oleh penggerak masyarakat Orang Asli (PMOA) dan da’i Orang Asli.

Beliau berkata pendekatan mesra komuniti turut dipergiat secara konsisten di peringkat akar umbi menerusi inisiatif turun padang secara bersasar.

"Kerajaan turut melaksanakan program ziarah interpersonal secara berkala bagi memberikan bimbingan, sokongan kerohanian dan kebajikan kepada masyarakat Orang Asli," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Shahrol Wizan Sulong di Dewan Negara hari ini mengenai perancangan jangka pendek dan panjang kerajaan bagi memperkukuh penghayatan ajaran Islam dalam kalangan masyarakat Orang Asli Muslim.

Marhamah berkata bagi pelan tindakan jangka pendek, fokus utama diberikan kepada pengukuhan usaha dakwah menerusi kolaborasi strategik antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) serta jabatan dan majlis agama Islam negeri.

Bagi menyokong pengimarahan surau di perkampungan Orang Asli, beliau berkata sehingga kini 13 pembantu tadbir dibayar elaun oleh Kerajaan Persekutuan melalui JAKIM untuk mengajar, selain pelantikan 75 imam dan 66 bilal dalam kalangan komuniti itu sendiri.

Sementara itu, mengenai strategi jangka panjang, Marhamah berkata kerajaan komited untuk membangunkan ekosistem dakwah yang lebih tersusun, bersepadu dan mampan buat komuniti berkenaan.

"Sehubungan itu, Unit Khas Dakwah Orang Asli diwujudkan di bawah Cawangan Pemantapan Kefahaman Islam, Bahagian Dakwah JAKIM serta Bahagian Pembangunan Du'at bagi menyelaras, memperkukuh, dan meningkatkan keberkesanan pelaksanaan program dakwah kepada masyarakat Orang Asli," katanya.

Beliau berkata agenda itu diperkasakan di lapangan menerusi pelantikan tujuh penyelaras PMOA, 243 PMOA di bawah JAKIM, dan 10 da’i Orang Asli di bawah YADIM di Semenanjung, selain sokongan petugas dakwah lantikan kerajaan negeri mengikut keperluan pasaran setempat.

Menjawab soalan tambahan mengenai kaedah pemantauan keberkesanan di lapangan, Marhamah berkata pendekatan menempatkan PMOA dan da'i Orang Asli untuk tinggal bersama komuniti penting bagi menilai dan memastikan syiar Islam dihayati serta dipraktikkan dalam kehidupan seharian komuniti itu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement