KUALA LUMPUR: Kerenah birokasi yang wujud dalam pentadbiran kerajaan perlu perhalusi semula agar perkhidmatannya lebih cekap, pantas dan boleh diharap.

Pengasas Bersama UNDI18 Qyira Yusri melihat dorongan untuk berkhidmat sepenuh hati tanpa terikat dengan formaliti membuatkan badan bukan kerajaan (NGO) bergerak lebih pantas berbanding agensi kerajaan.

Ia seperti yang terlihat dalam peristiwa banjir yang melanda negara baru-baru ini.

“Kewujudan NGO itu pun menunjukkan bahawa terdapat jurang-jurang dalam kerajaan dan institusi yang perlu diperbaiki.

“Dengan teknologi yang kita ada sekarang, sangat senang untuk pertubuhan sosial atau NGO menggerakkan satu sama lain, tak ada birokrasi, tak perlu tunggu arahan sesiapa dan hanya memerlukan koordinasi.”

Jelas Qyira, kecekapan gerak kerja NGO mendepani bencana banjir diperlihatkan apabila ada beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) yang mereka bangunkan sendiri tanpa bantuan mana-mana agensi kerajaan, yang datang kemudian menjalankan pemantauan berkala.

Semua ini, katanya, adalah kerana rakyat Malaysia sudah letih menunggu dan hanya mahu membantu mereka yang amat memerlukan, dengan semangat #kitajagakita yang dimulakan sejak kemuncak pandemik COVID-19 tahun lepas.

“Saya sendiri ada kendalikan NGO. Saya tak perlu tunggu sesiapa. Kami lihat ada keperluan, kami masuk dan cuba menyelesaikannya sehabis baik.”

Pada masa depan, beliau berharap kerajaan dapat membuka pintu kerjasama yang lebih dinamik dengan NGO dan pertubuhan sosial supaya segala penyampaian perkhidmatan dan bantuan berjalan lebih lancar dan menyeluruh kesannya.

Tonton temu bual bersama Qyira dalam program Dialog Tiga Penjuru dihoskan oleh Luqman Hariz, di sini:

Kerajaan perlu belajar daripada NGO, kurangkan kerenah birokrasi