KUALA LUMPUR: Kerajaan mesti mengambil langkah komprehensif untuk membendung kenaikan harga, dan memastikan bekalan barangan makanan dan keperluan harian yang mencukupi, kata Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Agungnya Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, perkara itu antara yang tercapai dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu.

Hamzah, yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, MPT Bersatu turut mahukan Kerajaan memberi fokus utama kepada usaha-usaha untuk membantu rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah.

“Justeru itu, Bersatu akan memperluaskan program bantuan prihatin rakyat yang dilaksanakan oleh parti termasuk program kebun komuniti yang kini sedang dilaksakan di beberapa kawasan.

“Program ini mampu menjana pendapatan penduduk di samping menyediakan bekalan sayuran dan makanan dengan harga yang murah,” katanya lagi.

Hamzah berkata, mesyuarat MPT itu antara lain membincangkan beberapa perkara berkenaan pengurusan parti, dan isu-isu semasa terutamanya inisiatif untuk menangani isu kos sara hidup rakyat.

Mengenai pengurusan parti, beliau berkata, MPT telah menetapkan tarikh persidangan Cawangan bermula 19 Ogos sehingga 18 September 2022, manaklaa persidangan Bahagian bermula 8 Oktober hingga 9 Oktober, 2022.

Katanya lagi, Persidangan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2022 pula ditetapkan pada 12, dan 13 November 2022.

“Manakala urusan pemilihan parti di peringkat cawangan akan ditangguhkan ke suatu tarikh tidak melebihi 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan,” katanya lagi.

Dalam pada itu Hamzah berkata, mesyuarat turut bersetuju untuk melantik bekas Menteri Hal Ehwal dalam Negeri, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad sebagai ahli MPT yang terbaharu.